Mourinho tidak hirau kata orang

MANCHESTER, 12 Mac – Kebanyakan kelab mungkin gembira berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris, melangkah ke suku akhir Piala FA dan hampir menyertai kelompok lapan terbaik Liga Juara-Juara.

Namun Jose Mourinho menyedari bahawa seorang pengurus Manchester United bukan sahaja perlu menghadapi persoalan mengenai keputusan perlawanan tetapi bagaimana ia diperoleh.

“Jika orang anggap kami tidak layak, saya tidak peduli,” kata Mourinho selepas United menewaskan Liverpool 2-1 Sabtu lalu meskipun memiliki penguasaan 32 peratus. Masalah buat Mourinho kini bukan saja membabitkan tradisi United yang sentiasa mencatat kemenangan ketika berada di hadapan di bawah kendalian pengurus hebat seperti Matt Busby dan Alex Ferguson yang menjuarai Liga Juara-Juara, malah United bukan lagi pasukan terbaik di Manchester.

Manchester City mendahului 13 mata di puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan satu perlawanan.

Jose Mourinho mengawal bola semasa perlawanan menentang Liverpool tempoh hari. – AP

Selain itu gaya bola sepak menarik yang ditampilkan seteru lamanya Pep Guardiola adalah seumpama permainan yang pernah disaksikan penyokong United sebelum ini berbanding taktik yang diketengahkan Mourinho. Penyokong Chelsea mendendangkan bekas pengurus mereka dengan sorakan “bandar anda biru seperti London” ketika berkunjung ke Old Trafford bulan lalu.

“Ini bukan skuad United yang dulu, malah ia tidak seteruk apa yang diperkatakan pengkritik,” kata editor majalah United We Stand, Andy Mitten.

“Hanya kerana City menikmati musim penuh kejayaan tidak bermakna musim United perlu menjadi malapetaka.”

Bagaimanapun dengan City semakin hampir untuk menjulang kejuaraan dan menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara, tekanan mula dirasai United yang bakal menentang Sevilla awal pagi Rabu. – AFP