Mourinho, Wenger perang dingin lagi

Mourinho, Wenger perang dingin lagi

LONDON, 4 Ogos (Agensi) – Jose Mourinho menuduh Arsene Wenger sengaja tidak mengendahkan dirinya apabila kedua-dua pengurus itu memanjangkan persengketaan mereka di Wembley, kelmarin.

Wenger akhirnya berjaya menamatkan ‘badi’ Mourinho selepas membawa Arsenal melakar kemenangan pertama ke atas Chelsea daripada 14 percubaan. Gol tunggal Alex Oxlade-Chamberlain membantu Gunners menjulang Perisai Komuniti menerusi kemenangan 1-0.

Bagaimanapun, sebaik sahaja perlawanan tamat, Wenger menjadi tumpuan apabila dia berjalan masuk ke terowong stadium tanpa mempedulikan Mourinho.

Dia sekali lagi dilihat tidak mengendahkan musuh ketatnya itu ketika Mourinho sedang berjabat tangan mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain Arsenal.

“Saya perlu menjaga imej kelab dan menunjukkan sikap yang betul sebagai seorang pengurus. Saya memang menunggu mereka (pasukan lawan) untuk mengucapkan tahniah, tetapi jika anda tidak menghiraukan saya, itu terpulang kepada anda.

Mourinho dan Wenger semasa mengendalikan pasukan dalam perlawanan Perisai Komuniti di Stadium Wembley kelmarin. - Reuters
Mourinho dan Wenger semasa mengendalikan pasukan dalam perlawanan Perisai Komuniti di Stadium Wembley kelmarin. – Reuters

“Jika ada orang yang tidak berminat untuk berjalan ke arah saya, itu bukan masalah saya. Dunia tidak akan kiamat dan saya tidak kisah tentang perkara tersebut,” kata Mourinho.

Kedua-dua pengurus itu saling tidak mempedulikan antara satu sama lain sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, namun Wenger mendakwa, dia ada berjabat tangan dengan Mourinho.

“Saya bersalaman dengannya selepas perlawanan, tetapi tiada apa yang istimewa mengenai hal itu,” katanya.

Wenger turut membalas kritikan Mourinho yang mendakwa, Arsenal mengorbankan prinsip mereka apabila menerapkan corak permainan bertahan pada babak kedua dengan 10 pemain berkubu dalam kawasan lawan demi meraih kemenangan.

“Kami tidak mengorbankan apa-apa pun. Kami bertahan kerana tekanan yang diberikan oleh Chelsea. Pemain kami bertanggungjawab mempertahankan gawang mereka dan saya bangga dengan tindakan itu,” kata Wenger.