MPK Bokok cari pengalaman di Tutong

MPK Bokok cari pengalaman di Tutong

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 30 Dis – Rombongan seramai 25 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bokok dan Biro Wanita Kampung Bokok, Temburong dengan diiringi oleh empat orang pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Temburong telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Daerah Tutong, hari ini.

Rombongan tersebut diketuai oleh Penghulu Mukim Bokok, Haji Emran bin Haji Sabtu.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong serta ahli-ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat yang telah dikendalikan bersama oleh Penolong Pegawai Kerja, Bahagian Korporat, Jabatan Daerah Tutong, Dayang Alia Nurzahra binti Abdullah Api dan Ketua Pegawai Eksekutif, Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali.

Rombongan mengakhiri lawatan ke Perusahaan Madu Kelulut.
Rombongan mengakhiri lawatan ke Perusahaan Madu Kelulut.
Gambar ramai semasa rombongan mengadakan lawatan di Kampung Tanjong Maya, Tutong.
Gambar ramai semasa rombongan mengadakan lawatan di Kampung Tanjong Maya, Tutong.

Setelah itu, rombongan dibawa melawat ke Galeri 1K1P (Satu Kampung Satu Produk) Jabatan Daerah Tutong bagi menyaksikan dan mengetahui dengan lebih dekat lagi pameran dan jualan produk-produk kampung di daerah itu.

Rombongan juga dibawa melawat ke salah satu tempat memproses Minyak Kelapa Dara di Kampung Tanjong Maya yang diusahakan oleh Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, di mana mereka mendengar taklimat mengenai kaedah pembuatan minyak kelapa dara.

Pada sebelah petang, rombongan dibawa melawat ke tempat pemprosesan teh herba yang diusahakan oleh salah seorang ahli MPK Kiudang, Haji Amran bin Johari. Di sana, rombongan diberi tunjuk ajar mengenai aktiviti pemprosesan dan sesi demonstrasi pembuatan teh tersebut.

Rombongan mengakhiri lawatan ke Perusahaan Madu Kelulut yang diusahakan oleh salah seorang ahli MPK Sungai Kelugos, Awang Mitasby bin Mamit di mana mereka berpeluang menyaksikan cara-cara menuai madu kelulut.

Lawatan tersebut bertujuan untuk mempelajari dan memperolehi pengalaman baru sebagai motivasi agar ahli-ahli Jawatankuasa MPK Bokok dan Biro Wanita Bokok lebih bersemangat dalam memajukan produk-produk perekonomian atau 1K1P di Daerah Temburong.

Selain itu, ia juga bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara kedua belah pihak khususnya dalam kalangan ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong dan Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA