MPK Bukit Panggal FC saingi mata BAMIT FC

MPK Bukit Panggal FC saingi mata BAMIT FC

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 7 Mac – MPK Bukit Panggal FC memberikan kekalahan pertama buat BAMIT FC, dengan jaringan 4-1, dalam aksi Kumpulan A Liga Persatuan Bolasepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) DST 2015.

Kemenangan itu membolehkan MPK Bukit Panggal FC menyamai kutipan mata BAMIT FC ketika ini iaitu 12 mata, masing-masing daripada lima permainan: empat menang dan satu kalah, tetapi BAMIT FC kekal di puncak dengan kelebihan +12 perbezaan gol berbanding +10 untuk MPK Bukit Panggal FC.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu, MPK Bukit Panggal FC sudah selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, dengan jaringan pertamanya sudah hadir seawal minit ke-3 yang dijaringkan oleh Shahnizam.

Gol kedua MPK Bukit Panggal FC terhasil pada minit ke-12 menerusi percubaan Muhd Faiz dan 12 minit kemudian kedudukan menjadi 3-0 apabila Shahnizam sekali lagi menemui sasarannya di gawang lawan.

Separuh masa kedua menyaksikan MPK Bukit Panggal FC terus mendominasi perlawanan sehingga sekali lagi berjaya membolosi pertahanan lawan pada minit ke-55 iaitu hanya 10 minit selepas rehat untuk terus selesa di depan dengan jaringan 4-0.

MPK Bukit Panggal FC menewaskan Bamit FC 4-1 sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada Bamit FC dalam saingan Kumpulan A Liga TDAFA DST 2015.
MPK Bukit Panggal FC menewaskan Bamit FC 4-1 sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada Bamit FC dalam saingan Kumpulan A Liga TDAFA DST 2015.

Gol tunggal BAMIT FC hadir pada minit ke-74 menerusi jaringan Muhd Shahrinol, maka tanpa adanya lagi jaringan dihasilkan selepas itu, MPK Bukit Panggal FC muktamad memenangi perlawanan dengan jaringan 4-1.

Menduduki tempat ketiga Kumpulan A ketika ini ialah PERDA FC dengan 10 mata daripada lima permainan, diikuti Belabau FFT dengan 9 mata daripada empat permainan, dan Kiudang Mungkom FC di tangga kelima dengan 6 mata dari empat perlawanan.

Menyusuli di kedudukan keenam ialah Bang Dalam FC dengan 3 mata daripada lima perlawanan, sementara Sinar FC di tempat ketujuh dengan 1 mata daripada empat permainan dan Kilugus FC di tangga terbawah tanpa sebarang mata daripada empat permainan.

ARTIKEL YANG SAMA