MPK Kiudang dapat anugerah ASEAN

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang Tutong telah menerima Penganugerahan ASEAN Community Based Tourism 2017-2019 buat pertama kali sempena Forum Pelancongan ASEAN yang diadakan di Hotel Pan Pacific, Singapura pada 20 Januari lalu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong kepada Ketua Biro Kemasyarakatan, Pelancongan dan Perhubungan Awam, MPK Kiudang, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali dan Setiausaha MPK Kiudang, Haji Saifulbahri bin Haji Umarali.

Awang Muhammad Amir dan Haji Saifulbahri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pagi tadi dan disambut oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung selaku Penasihat MPK Kiudang; Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain dan Pengarah Kemajuan Pelancongan, Haji Mohd Zamree bin Haji Junaidi.

Menurut Awang Muhammad Amir, MPK Kiudang, Tutong telah mendapat kelayakan pencalonan dan seterusnya menerima Anugerah ASEAN Community Based Tourism 2017-2019.

Ia adalah hasil inisiatif Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan yang memilih beberapa kampung di negara ini termasuk Kampung Kiudang yang dikenal pasti aktif dalam bidang pelancongan untuk disenaraikan bagi mendapatkan pengiktirafan.

Yang Berhormat Haji Umarali selaku Penasihat MPK Kiudang hadir menyambut kedatangan rombongan penerima Anugerah  ASEAN Community Based Tourism 2017-2019, kelmarin.
Yang Berhormat Haji Umarali selaku Penasihat MPK Kiudang hadir menyambut kedatangan rombongan penerima Anugerah ASEAN Community Based Tourism 2017-2019, kelmarin.
Awang Muhammad Amir ketika ditemubual.
Awang Muhammad Amir ketika ditemubual.

Anugerah ASEAN Community Based Tourism adalah untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan pada peringkat ASEAN kepada pihak-pihak berkepentingan yang mengikuti standard sektor pelancongan yang dibangunkan oleh negara-negara anggota ASEAN.

Awang Muhammad Amir berkata, MPK Kiudang memang aktif dalam aktiviti sektor pelancongan dan penganugerahan tersebut merupakan satu mercu tanda MPK Kiudang dalam memantapkan lagi bidang perindustrian pelancongan.

Beliau berharap MPK Kiudang akan terus mengembangkan lagi bidang pelancongan dan akan mencuba menyertai beberapa pengiktirafan lain di peringkat ASEAN seperti inap desa dan sebagainya.

Selain itu, MPK Kiudang juga diharap dapat membantu MPK lain di negara ini untuk sama-sama memajukan industri pelancongan dalam kampung di samping menasihati mereka supaya mengambil peluang keemasan daripada perkembangan industri pelancongan di negara ini.