MPK Kiudang mula agih kurma

MPK Kiudang mula agih kurma

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Mei – Bagi memberi kemudahan penduduk kampung khususnya orang-orang kurang upaya (OKU), warga emas dan saudara-saudara baru menerima buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang bersama ketua kampungnya, telah memulakan pengagihan buah kurma kepada golongan berkenaan di kampung tersebut, pagi tadi.

Salah seorang OKU, Haji Emran bin Haji Abdullah dengan berbesar hati menyatakan setinggi penghargaan terima kasih kepada Ketua Kampung Kiudang, Haji Mohd Saiful bin Abdullah Anja dan MPK Kiudang kerana tidak melupakan mereka dengan pengagihan kurma tersebut.

Beliau juga menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana mengurniakan kurma kepada rakyat dan penduduk negara ini dalam sama-sama menyambut ketibaan bulan Ramadan.

Sementara salah seorang saudara baru yang baru memeluk Islam, Awang Sahrin bin Abdullah Awang mengatakan bahawa tahun ini merupakan kali pertama mereka menerima kurma tersebut dan akan menyempurnakan ibadah puasa bersama saudara Islam lainnya.

Haji Mohd Saiful semasa mengagihkan Kurma Kurnia Peribadi kepada OKU yang tinggal di Kampung Kiudang.
Haji Mohd Saiful semasa mengagihkan Kurma Kurnia Peribadi kepada OKU yang tinggal di Kampung Kiudang.
Salah seorang warga emas di kampung itu yang turut menerima kurma berkenaan.
Salah seorang warga emas di kampung itu yang turut menerima kurma berkenaan.

Beliau turut menyatakan rasa tersentuh dan bagaikan seperti menikmati ‘hidup baru’ sebagai orang Islam di negara ini.

Pengurniaan ‘Kurma Kurnia Peribadi’ ini merupakan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang menunjukkan tanda kasih dan pemedulian Baginda, sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan nanti.

Haji Mohd Saiful berkata, pengagihan buah kurma dari rumah ke rumah itu adalah khas kepada golongan tertentu di samping memaklumkan kepada seluruh penduduk Kampung Kiudang agar dapat mengambil buah kurma masing-masing di kediamannya.

ARTIKEL YANG SAMA