MPK Kiulap anjur ekspo amal

MPK Kiulap anjur ekspo amal

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Bagi membantu mengutip dana Tabung Anak-anak Yatim Kampung Kiulap, khasnya bagi perbelanjaan pembelian barang-barang persekolahan atau barang-barang keperluan seharian mereka, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiulap akan mengadakan Ekspo Amal di The Airport Mall, Berakas pada 22 hingga 26 Ogos ini.

Ekspo yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan jabatan-jabatan kerajaan, pihak sekolah dan persatuan-persatuan itu juga bertujuan bagi memberi peluang kepada para peniaga kecil dan sederhana ataupun syarikat-syarikat berjaya memperkenalkan produk-produk mereka.

Di samping itu juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara ahli-ahli jawatankuasa MPK dalam sama-sama menjayakan acara Jualan Ekspo Amal dan serta dengan pihak jabatan-jabatan kerajaan dan para peniaga.

Ekspo amal itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan pentas daripada badan persatuan dan sekolah-sekolah yang dijemput, pertandingan membuat kikik (layang-Layang) dan pameran kikik oleh Persatuan Kikik Brunei, senamrobik oleh Persatuan Kebudayaan Brunei, melukis muka dan banyak lagi.

Orang ramai yang ingin menyertai acara berkenaan bolehlah menghubungi Biro Wanita MPK Kiulap di talian 8175797/8152377.

ARTIKEL YANG SAMA