MPK Lumut 1 berhari raya

MPK Lumut 1 berhari raya

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 2 Ogos – Bagi mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan ahli-ahlinya dengan penduduk kampung dan masyarakat sekeliling, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut 1 telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri 2016 yang berlangsung di Balai Raya Kampung Lumut di sini, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

Majlis yang dipengerusikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga selaku Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad itu turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma anak-anak yatim serta penyampaian sumbangan daripada keluarga Haji Hassan bin Hasip dan Haji Wasli bin Bakar dari Kampung Sungai Bakong, Lumut 1, kepada anak-anak yatim yang hadir.

Penyampaian derma anak-anak yatim telah disempurnakan oleh tetamu kehormat dan juga wakil keluarga yang bersedekah iaitu Haji Ahmad bin Haji Hassan.

Tetamu kehormat ketika menyempurnakan penyampaian hadiah cabutan bertuah pada majlis tersebut.
Tetamu kehormat ketika menyempurnakan penyampaian hadiah cabutan bertuah pada majlis tersebut.

Majlis tersebut telah dimeriahkan lagi dengan beberapa persembahan nyanyian Hari Raya oleh kalangan belia-belia kampung dan juga ahli-ahli MPK tersebut.

Di samping itu, cabutan bertuah turut menceriakan lagi suasana yang memberikan peluang kepada mereka yang bernasib baik membawa pulang hadiah.

Majlis tersebut merupakan antara aktiviti tahunan MPK tersebut, yang juga untuk meningkatkan lagi semangat kerjasama dan bagi membukakan peluang untuk saling beramah mesra antara satu sama yang lain

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin dan Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib.