MPK Lumut berminat dapat kontrak Jabatan Daerah Belait

MPK Lumut berminat dapat kontrak Jabatan Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 8 April – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut 1, telah mengambil langkah melakukan projek mengekalkan keindahan persekitaran dan menggunakannya sebagai peluang meningkatkan kemahiran berniaga secara kecil-kecilan untuk para penduduk kampung.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga selaku Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad, memberitahu Media Permata, MPK Lumut 1 merupakan salah satu daripada dua MPK di Daerah Belait yang berminat untuk mendapatkan kontrak dengan Jabatan Daerah Belait dalam pemuliharaan balai raya di kampung itu.

Menurut beliau, secara tradisi, penyelenggaraan balai raya kampung diserahkan kepada pihak swasta, tetapi MPK sebenarnya boleh berbuat demikian pada kadar yang lebih murah, selain dapat memberikan pendapatan sampingan kepada penduduk kampung.

Jelasnya lagi, mereka dibayar $500 sebulan bagi kerja penyelenggaraan Balai Raya Lumut 1, dan majoritinya digunakan untuk pembayaran gaji pekerja kepada kalangan penduduk kampung dan selebihnya disimpan sebagai dana MPK tersebut.

Antara yang terlibat menyertai projek menebang pokok anjuran Majlis Perundingan Kampung Lumut 1 kelmarin.
Antara yang terlibat menyertai projek menebang pokok anjuran Majlis Perundingan Kampung Lumut 1 kelmarin.

Dalam jangka masa panjang, ujarnya, memperolehi kontrak kecil seperti itu dapat mengekalkan keindahan imej kampung di samping menjaga keselamatan, malah membolehkan meningkatkan pengurusan dan keupayaan MPK secara kolektif dan profesional.

Hari ini, MPK Lumut 1 telah melakukan projek rutin menebang pokok-pokok mati, dengan dibantu oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya dan Balai Polis Sungai Liang.

Pokok-pokok yang ditebang kemudiannya dibawa ke kawasan Tapak Pelupusan Sungai Paku, Tutong.

Inisiatif tersebut merupakan projek sampingan yang dilaksanakan secara proaktif oleh ahli-ahli MPK tersebut tanpa keuntungan individu, dengan melibatkan kira-kira 20 orang dalam kalangan ahli MPK Lumut 1 dan lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA