MPK Mumong raikan 9 bakal haji

MPK Mumong raikan 9 bakal haji

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 19 Ogos – Seramai sembilan orang bakal haji dari Kampung Mumong yang akan bertolak ke Tanah Suci Mekah penghujung bulan ini, telah diraikan dalam Majlis Doa Selamat yang diadakan di Bilik Kegiatan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mumong di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin.

Majlis anjuran MPK Mumong itu merupakan aktiviti tahunan yang antara lain bertujuan untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bakal-bakal haji dari kampung berkenaan semoga selamat pergi dan kembali daripada mengerjakan Ibadah Haji ke Tanah Suci Mekah dengan membawa haji yang mabrur.

Yang Berhormat Haji Mohd Yusof, dalam temu bual bersama Media Permata memberitahu, jumlah bakal haji di kampung itu semakin meningkat setiap tahun, dan pada tahun ini meningkat kepada sembilan orang berbanding tahun lalu hanya lima orang.

Doa dipanjatkan kepada bakal-bakal haji supaya selamat pergi dan kembali dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.
Doa dipanjatkan kepada bakal-bakal haji supaya selamat pergi dan kembali dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bersama bakal-bakal haji Kampung Mumong di Majlis Doa Selamat kepada bakal-bakal haji.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bersama bakal-bakal haji Kampung Mumong di Majlis Doa Selamat kepada bakal-bakal haji.

Menurutnya, jumlah bakal haji itu juga tergantung kepada pemilihan untuk mengisikan kuota yang telah ditetapkan oleh pihak Arab Saudi untuk bakal-bakal haji di Negara Brunei Darussalam, dan terdapat juga sebahagian daripada bakal-bakal haji yang sudah mendaftar terpaksa menolak kerana pemberitahuan penerbangan yang agak mendadak.

“Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan jumlah bakal-bakal haji di negara ini secara menggunakan kuota kira-kira satu peratus daripada jumlah penduduk, dan penggunaan kuota ini dikatakan bersifat sementara sepanjang proses kerja-kerja membaik pulih dan pembaharuan kawasan Mekah pada masa ini dan dijangka akan selesai pada tahun 2016, di mana kemungkinan had jumlah menggunakan kuota akan ditiadakan semula kepada penduduk di negara ini,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi, sebelum penggunaan kuota bagi bakal-bakal haji ke Mekah, lebih 30 orang penduduk kampung mengerjakan haji setiap tahun, bagaimanapun beliau merakamkan tahniah kepada mereka yang akan bertolak menunaikan ibadah haji tahun ini dan mendoakan semoga mereka akan sentiasa dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera sepanjang mengerjakan ibadah haji di tanah suci dan selamat kembali ke tanah air yang dijadualkan pada bulan depan.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal haji Kampung Mumong yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Haji Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA