MPK Pelambayan anjur walkaton, jualan amal

MPK Pelambayan anjur walkaton, jualan amal

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Walkaton dan Jualan Amal anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pelambayan yang disertai oleh belia dan penduduk Kampung Pelambayan, telah diadakan di kediaman ketua kampung berkenaan, pagi tadi.

Turut serta dalam acara walkaton seterusnya melancarkan walkaton amal itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Ketua Kampung Pelambayan, Haji Hanipah bin BPUK Haji Junit semasa ditemu bual menjelaskan, walkaton dan jualan amal ini merupakan kali ketujuh diadakan dengan melibatkan para belia dan penduduk kampung berkenaan.

Ia antara lain bertujuan untuk mengutip derma bagi tabung anak-anak yatim kampung berkenaan untuk meringankan beban perbelanjaan mereka pada hari raya nanti di samping menanamkan dalam diri supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dengan melakukan aktiviti bersukan.

Sesi memanaskan badan sebelum acara walkaton dimulakan.
Sesi memanaskan badan sebelum acara walkaton dimulakan.

Menurutnya lagi, 30 peratus daripada kutipan amal itu akan disumbangkan kepada tabung berkenaan dan penyerahan sumbangan tersebut akan diadakan pada bulan Ramadan nanti.

Acara walkaton bermula dari kediaman ketua kampung menuju ke Jambatan Queen Elizabeth sebelum balik semula ke kediaman ketua kampung, sementara itu jualan amal telah pun bermula pada 1 April lalu hingga hari ini.

Sebelum acara pelepasan walkaton, sesi memanaskan badan selama 15 minit telah dipimpin oleh Awang Mohd Darus bin Tanjong dari Jabatan Belia dan Sukan.

Pada acara itu, Awang Misle turut menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan sempena walkaton dan jualan amal kampung berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA