MPK RPN Panchor anjur ceramah Ramadan

MPK RPN Panchor anjur ceramah Ramadan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor, Meng-kubau telah menganjurkan aktiviti keagamaan dengan pengisian ceramah agama, kelmarin.

Ia adalah aktiviti pertama ahli jawatankuasa MPK RPN Panchor sejak ia ditubuhkan baru-baru ini.

Hadir menyampaikan ceramah bertajuk ‘Bulan Ramadan, Bulan Kerinduan’ ialah penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Nazirul Mubin bin Ahad yang menyentuh mengenai kegiatan dan kewajipan di sepanjang Ramadan.

Ceramah itu telah diadakan di kawasan kediaman Haji Muhammad bin Haji Sabli de-ngan kerjasama penduduk di kawasan kejiranan Simpang 48 Jalan Bukit Sinandur, memandangkan RPN Panchor merupakan penempatan perumahan baru yang belum lagi mempunyai kemudahan-kemudahan lain seperti dewan dan sebagainya.

Pada ceramah itu, mereka yang hadir juga berpeluang bertanyakan soalan tentang sebarang kemusykilan yang berkaitan dengan puasa.

Bendahari MPK yang juga selaku Ahli Jawatankuasa MPK RPN Panchor, Awang Nazri bin Saie menjelaskan bahawa aktiviti ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan penduduk kampung di samping menambahkan lagi ilmu dan persiapan sebelum menjelangnya Ramadan.

 

ARTIKEL YANG SAMA