MPK Sungai Akar hulur derma

MPK Sungai Akar hulur derma

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Bersempena dengan bulan Ramadan penuh berkat ini, Kampung Sungai Akar telah mengadakan majlis tahunan berkebajikannya dalam sama-sama menyebarkan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan.

Seramai 224 orang telah menerima derma dalam Majlis Tahlil Sekampung dan Penyampaian Derma Kepada Anak-anak Yatim, Balu, Penerima Bahagian Kebajikan dan Warga Intan Berumur 75 Tahun & ke atas bagi Kampung Sungai Akar, Mukim Berakas ‘B’ ke-9 itu.

Sumbangan yang dihulurkan itu adalah hasil daripada kutipan derma Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Sungai Akar daripada penduduk Kampung Sungai Akar dengan jumlah keseluruhan sebanyak $26,700, yang mana jumlah ini meningkat hampir $2,000 berbanding tahun lalu iaitu sebanyak $24,746.

Daripada jumlah berkenaan seramai 34 orang anak yatim telah menerima $210 seorang, 69 orang balu menerima $80 seorang, penerima bahagian kebajikan me-nerima $80 seorang dan 88 orang warga intan berusia 75 tahun dan ke atas menerima $70 seorang.

Antara anak yatim yang menerima sumbangan MPK Sg Akar.
Antara anak yatim yang menerima sumbangan MPK Sg Akar.

Menyempurnakan penyampaian derma kepada warga intan berumur 75 tahun dan ke atas ialah mantan Setiausaha Tetap (Teknikal & Profesional) di Kementerian Pembangunan, Dato Paduka Haji Rashid bin Haji Abdul Rahman, diiringi Ketua Kampung Sungai Akar, Haji Ramlee bin Haji Mohd Zain.

Manakala isterinya, Datin Hajah Winny binti Haji Suhaili berkesudian untuk menyampaikan derma kepada anak-anak yatim, balu dan penerima bahagian kebajikan, sambil diiringi isteri Ketua Kampung Sungai Akar, Hajah Rokiah binti Ismail.

Bacaan Tahlil pada majlis di Restoran Pujangga, Kampung Sungai Akar berkenaan dipimpin oleh mantan imam, Haji Salleh bin Haji Murah.

ARTIKEL YANG SAMA