MPK Sungai Bunga kunjungi Seria

MPK Sungai Bunga kunjungi Seria

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 20 Mac – Majlis Perundingan Mukim Seria dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) STKRJ Lorong Tiga Seria dan Panaga 2000, hari ini, telah menerima kunjungan muhibah daripada rombongan lebih 70 orang ahli MPK Sungai Bunga, Daerah Brunei-Muara.

Ketibaan rombongan lawatan yang terdiri daripada ahli-ahli belia dan biro wanita, di Dewan Pejabat Daerah, di sini, dialu-alukan oleh Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap dan Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Seria Haji Saidin bin Haji Ibrahim selaku pengerusi dan penolong pengerusi majlis tersebut.

Majlis yang dikendalikan dengan kerjasama Persatuan PEMBELA Belait, Persatuan PERTIWI cawangan Daerah Belait dan Jabatan Daerah Belait, itu telah menyediakan pelbagai acara bagi meraikan rombongan pelawat antaranya persembahan Silat Olahraga Wushu Mukim Seria, persembahan nasyid oleh penduduk RPN Panaga 2000, persembahan silat Seni Warisan Pelangi Mukim Seria, serta deklamasi puisi bertajuk Kumpulan Hati oleh Awang Abu Bakar Lani.

Untuk menambah ceriakan lagi suasana majlis, Persatuan PERTIWI yang diketuai oleh Pengerusinya Dayang Fatimah binti Tanji, turut mengambil bahagian dalam pameran produk tempatan serta demonstrasi membuat kuih muih tempatan oleh ahli-ahli persatuan tersebut.

Bagi menceriakan lagi suasana, rombongan juga membuat persembahan balas seperti persembahan nasyid dan Hadrah Sungai Bunga.

Rombongan berpeluang menyaksikan pameran produk kampung dan demonstrasi memasak oleh Persatuan PERTIWI cawangan Daerah Belait.
Rombongan berpeluang menyaksikan pameran produk kampung dan demonstrasi memasak oleh Persatuan PERTIWI cawangan Daerah Belait.
Antara yang menghadiri Lawatan Muhibbah Majlis Perundingan Kampung Sungai Bunga Daerah Brunei-Muara kelmarin.
Antara yang menghadiri Lawatan Muhibbah Majlis Perundingan Kampung Sungai Bunga Daerah Brunei-Muara kelmarin.

Ketua Kampung Sungai Matan, juga selaku Pemangku Ketua Kampung Sungai Bunga, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Zainal yang mengetuai rombongan pelawat memberitahu, lawatan itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim MPK mereka dengan semua MPM/MPK di seluruh daerah, selain untuk bertukar-tukar pandangan bagi memajukan lagi mukim dan kampung masing-masing.

Menurutnya, selepas lawatan ke MPM Seria, rombongan mereka akan meneruskan pula lawatan ke Masjid Zainab, juga dengan tujuan yang sama dan mengharapkan melalui hubungan erat, akan lebih banyak perkara yang boleh dilakukan secara bekerjasama.

Menjelaskan mengenai Kampung Sungai Bunga, beliau berkata, ia dibangunkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan sebanyak 120 buah rumah di samping prasarana dan kemudahan seperti masjid, sekolah dan sebagainya.

Dari segi ekonomi pula, Biro Wanita MPK Kampung Sungai Bunga begitu aktif dalam penghasilan keropok ikan dan udang yang mana kemahiran diperolehi melalui penyertaan kursus disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, melalui Jabatan Daerah Brunei-Muara.

“Selain itu, kampung ini juga mempunyai perkhidmatan pelancongan pada masa ini,” katanya mengenai kegiatan perekonomian di kampungnya.

Menurutnya lagi, produk-produk keropok udang dan ikan telah dipasarkan dan mereka juga mempunyai sebuah kedai sewa kiub di The Airport Mall untuk memperluaskan lagi bidang keusahawanan penduduk kampung berkenaan.

Lawatan berkenaan turut menyaksikan sesi soal jawab mengenai aktiviti AKC Kampung STKRJ Lorong 3 Selatan Seria, dengan diketuai oleh Ketua Kampung, Haji Saidin bin Haji Ibrahim, seterusnya mengenai aktiviti Persatuan PERTIWI, dan aktiviti Persatuan PEMBELA yang diketuai oleh Dr. Haji Azasahibul bin Haji Zainal Abidin.

ARTIKEL YANG SAMA