MPM Mentiri kibar megah bendera negara

MPM Mentiri kibar megah bendera negara

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-32 tidak lama lagi, Majlis Perundingan Mukim (MPM) Mentiri turut mengadakan Majlis Menaikkan Bendera di Dewan Kemasyarakatan Skim Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Zon 2, Daerah Brunei Muara, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Masjid RPN Kampung Mentiri, Haji Samsul bin Abdul Latif.

Ia kemudian disusuli dengan penyerahan bendera daripada ahli jawatankuasa majlis kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menaikkan bendera negara, yang diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud (dua dari kiri) hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud (dua dari kiri) hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Upacara menaikkan bendera negara diiringi dengan naungan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ yang dinyanyikan oleh para jemputan.
Upacara menaikkan bendera negara diiringi dengan naungan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ yang dinyanyikan oleh para jemputan.

Majlis juga diserikan dengan persembahan koir daripada kumpulan Three B Harmony dari Mukim Mentiri bertajuk ‘Tanah Air Ku’.

Antara tujuan upacara ini adalah untuk menyahut seruan negara bagi sama-sama mengibarkan bendera di bangunan-bangunan kerajaan di samping meningkatkan rasa cinta terhadap tanah air sendiri.

Selain itu, ia juga bagi menanamkan dan mempertingkatkan kesedaran mengenai peranan serta tanggungjawab selaku rakyat untuk mengibarkan bendera negara dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

ARTIKEL YANG SAMA