MPOB promosi produk sawit di China

MPOB promosi produk sawit di China

BEIJING, 15 Sept (Bernama) – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kini memberi tumpuan ke arah usaha untuk menggalakkan penggunaan minyak sawit dalam produk bukan makanan serta manfaat kesihatan di China bagi menyokong pertumbuhan industri minyak sawit Malaysia.

Pengerusinya Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad berkata tumpuan itu penting bagi mempromosikan minyak makan itu memandangkan pengguna di China masih tidak menyedari bahawa minyak sawit boleh digunakan dalam produk isi rumah.

“Kami bukan sekadar mempromosikan/mengeksport minyak, malah produk minyak berasaskan sawit. Kami kini bergerak ke tanah besar, menuju ke barat hingga ke wilayah seperti Chongqing selain pasaran tradisi kita di Guangzhou, Shanghai dan Beijing,” katanya kepada Bernama di luar acara Forum Minyak Sawit Kesihatan dan Pemakanan di sini, hari ini.

Wan Mohammad berkata nilai pemakanan dalam minyak sawit, penggunaan bukan makanan selain dalam bidang farmaseutikal, merupakan bidang utama MPOB dalam usaha mempromosikan minyak makan itu.

Beliau berkata MPOB juga bukan hanya mengeksport minyak makan itu bahkan produk berasaskan sawit dalam usaha untuk mencapai sasaran sumbangan Pendapatan Negara Kasar bagi industri itu sebanyak RM178 bilion pada 2020.

Mengenai sama ada kempen anti-minyak sawit seperti label makanan ‘tiada minyak sawit’ di Eropah akan memberi kesan ke atas eksport ke China, Wan Mohammad berkata isu seperti alam sekitar dan pembasmian hutan yang dimainkan di Eropah, tidak akan muncul di China.

ARTIKEL YANG SAMA