MPOCC optimis lebih 4,000 estet sawit milik swasta sedia untuk pensijilan

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) yakin lebih 4,000 ladang sawit milik swasta di negara ini akan bersedia bagi Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOCC, Harnarinder Singh berkata, pihaknya menyasarkan ladang-ladang berkenaan bersiap sedia untuk pensijilan MSPO.

MPOCC berharap cadangan mewajibkan pensijilan MSPO akan menjadikan penanam dan peserta industri lain komited ke arah pensijilan itu, katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan mengenai cadangan mewajibkan peserta industri, termasuk pekebun kecil, memperolehi pensijilan MSPO secara berperingkat menjelang akhir 2019.

Langkah itu bertujuan mempertingkatkan perladangan sawit, termasuk pekebun kecil persendirian dan terancang, serta kemudahan pemprosesan minyak sawit, untuk memenuhi piawaian kelestarian selaras dengan keperluan antarabangsa.

Setakat Februari 2017, 245,315 hektar kawasan tanaman sawit termasuk 3,000 hektar oleh pekebun kecil persendirian dan 3,868 hektar oleh pekebun kecil Felda terancang, diperakui di bawah Skim Pensijilan MSPO.

Harnarinder berkata, selain itu, 23 kilang di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak turut disahkan di bawah skim yang sama.

Beliau menjelaskan, banyak syarikat pengeluar minyak sawit utama berminat dan memberi komitmen ke arah pensijilan MSPO.

Memandangkan pensijilan MSPO merangkumi semua aspek rantaian bekalan dalam industri itu, maka pekebun kecil dan estet perladangan perlu bekerjasama untuk layak dan diperakui, katanya.

“Minyak sawit Malaysia perlu diperakui dan langkah itu penting bagi membolehkan produk negara diiktiraf dan dijual di pasaran luar negara yang mengehendaki minyak sawit diperakui untuk pengguna mereka,” katanya.

Skim Pensijilan MSPO merupakan skim nasional di Malaysia untuk pensijilan kelestarian perladangan kelapa sawit, kebun kecil persendirian dan terancang serta kemudahan pemprosesan minyak sawit.

Pada 24 Februari 2017, kerajaan menetapkan tempoh bagi pematuhan mandatori pensijilan MSPO secara berperingkat.

Entiti kelapa sawit dengan pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) perlu mendapatkan pensijilan MSPO sebelum 31 Disember 2018 manakala kesemua perladangan dan entiti sawit lain perlu diperakui sebelum 30 Jun 2019.

Bagi pekebun kecil persendirian dan terancang tempoh yang diberikan adalah sehingga 31 Disember 2019.

Harnarinder berkata, pensijilan MSPO adalah sangat berguna kerana ia merupakan jaminan kepada pembeli dan pengguna bahawa minyak sawit yang digunakan dalam produk berkenaan adalah hasil dari kawasan tanaman yang diuruskan secara baik. – Bernama