MPSS: Bersikap adil terhadap kewujudan Esscom

MPSS: Bersikap adil terhadap kewujudan Esscom

TAWAU, 15 Sept – Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) mahu masyarakat setempat tidak melemparkan pandangan negatif terhadap pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) apabila berlaku jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone).

Setiausahanya Mohd Zaki Harry Susanto berkata masyarakat harus bersifat adil kepada Esscom kerana pasukan keselamatan itu telah berjaya mengekang banyak cubaan penjenayah rentas sempadan yang membolosi perairan Sabah.

“Kita harus lebih adil… mengapa mesti menutup Esscom, itu adalah tindakan kurang bijak… kalau dikaitkan dengan penculikan terbaru (di Esszone) yang berlaku dalam tempoh perintah berkurung,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bumiputera Bajau Semporna (Perbubas) Mansor Santiri yang mencadangkan agar ESSCOM ditutup ekoran insiden penculikan tiga nelayan warga Filipina yang memiliki dokumen IMM13 di perairan Pulau Pom Pom di Semporna pada Sabtu lepas.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sejak 2014 hingga Mei tahun ini Esscom berjaya mematahkan 15 cubaan culik di perairan Esszone.

Daripada jumlah itu ia termasuk cubaan enam penculikan yang digagalkan sejak Januari hingga Mei tahun ini.

Dalam pada itu, kalangan penduduk di perairan Esszone terus menaruh harapan kepada Esscom untuk menjalankan tugas menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara daripada dicerobohi oleh kegiatan jenayah penculikan dan penyeludupan.

Bagi Mohd Fadilah Nasron,33, penduduk setempat perlu memberi kepercayaan dan peluang kepada Esssc untuk menjaga keselamatan perairan Sabah.

“Boleh dikatakan usia Esscom masih setahun jagung, masih banyak yang boleh Esscom perbaiki… Esscom masih diperlukan di sini terutama dalam memastikan Sabah terus aman, damai dan selamat,” katanya. – Bernama