MPT akan dirobohkan tanpa notis

MPT akan dirobohkan tanpa notis

TAWAU, 14 Sept – Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan merobohkan tanpa notis kira-kira 40 rumah setinggan yang tidak berpenghuni atas sebab keselamatan di Kampung Titingan, di sini dalam masa terdekat ini.

Presidennya, Alijus Sipil berkata perkara itu merupakan atas permintaan penduduk kampung sendiri dan telah mendapat pengesahan daripada ketua kampung berkenaan.

“Dikhuatiri rumah yang ditinggalkan semasa operasi terdahulu yang dilaksanakan bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di kampung ini dimasuki orang tidak bertanggungjawab.

Kita sekarang dalam proses mendapatkan kerjasama Esscom sekali lagi…kita akan masuk lagi untuk merobohkan rumah-rumah yang ditinggalkan itu…penandaan rumah sudah dilakukan…rumah itu akan dirobohkan bila-bila masa, tanpa notis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Bertemu Pelanggan MPT di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Alijus berkata pihaknya telah mewujudkan satu ‘WhatsApp Aduan’ sejak hujung tahun lalu bagi memberi nilai tambah dalam meningkatkan mutu perkhidmatan MPT.

Katanya, menerusi aplikasi itu, ia akan memudahkan penduduk berurusan dan menyalurkan setiap aduan dengan pantas.

Menurutnya, aduan boleh dilakukan dengan memberikan nama dan alamat dan hantar ke nombor 0138866375, pada bila-bila masa.

“Aduan juga boleh disalurkan di laman sesawang MPT iaitu www.mpt.sabah.gov.my atau terus ke pejabat MPT,” katanya lagi.

Di samping itu, katanya MPT akan menjadikan program memberi insentif kepada pemegang akaun konsisten membayar cukai pintu sebagai program tahunan. – Bernama