MRT Corp, Rapid Rail muktamad perjanjian serah MRT

MRT Corp, Rapid Rail muktamad perjanjian serah MRT

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) dan Rapid Rail Sdn Bhd, menandatangani perjanjian penyerahan serta pengoperasian, yang secara rasminya melantik Rapid Rail sebagai pengendali Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Selain keperluan operasi bagi laluan berkenaan, perjanjian itu juga memperincikan obligasi Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd, melibatkan penyelenggaraan gerabak, stesen, sistem dan aset lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata ia merupakan saat bersejarah bagi MRT Corp kerana ia menandakan transformasi Laluan

MRT Sungai Buloh-Kajang daripada projek yang dalam pembinaan, ke arah pengoperasian laluan berkenaan.

“Sepanjang enam tahun lepas, MRT Corp bekerja keras untuk mewujudkan sistem MRT moden, dan kini kami menghampiri saat penyerahan projek yang kami wujudkan kepada pengendali yang dilantik, katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Menerusi perjanjian itu, Rapid Rail dilantik sebagai pengendali untuk tempoh 10 tahun, dengan pilihan membolehkan lanjutan tempoh selama lima tahun lagi.

Perjanjian itu disediakan atas dasar terma pajakan aset dengan Rapid Rail memajak daripada MRT Corp dengan bayaran tahunan, kata MRT Corp.

“Rapid Rail akan menjalan-kan operasi laluan MRT dan mengekalkan semua tambang yang dikutip, manakala MRT Corp akan mengekalkan hasil bukan tambang, seperti pendapatan daripada pengiklanan dan pajakan runcit. Tambang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya.

Rapid Rail juga bertanggungjawab ke atas menyelenggara aset.

Bagaimanapun, kos pembersihan utama akan ditanggung oleh MRT Corp, sebagai pemilik aset. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA