MS ABDB benam MS PDB 4-0

MS ABDB benam MS PDB 4-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Pada ketika pesaingnya, MS ABDB menang mudah 4-0 ke atas MS PDB di Kompleks Sukan Tutong, Indera SC melakukannya dengan cara sukar, bangkit dari ketinggalan 1-3 sebelum menang 4-3 ke atas Jerudong FC di Kompleks Sukan Berakas.

Hamizan Aziz Sulaiman membawa Indera SC di depan menerusi tandukannya pada minit ke-29, hanya untuk disamakan 1-1 oleh Mohd Mardi Mirza Abdullah Bujang seminitdalam masa kecederaan.

Tiga minit selepas rehat menjadi giliran Jerudong FC menerajui perlawanan yang hadir menerusi jaringan Reneil bin Ruani, dan tiada siapa menjangka Jerudong FC akan mendahului 3-1 selang lima minit kemudian apabila Mohd Hardi Bujang pula menemui sasarannya di gawang Indera SC.

Tujuh belas minit terakhir perlawanan menjadi milik Indera SC dengan penghasilan tiga gol bermula dengan jaringan daripada pemain yang baru dimasukkan pada babak kedua, Sam Prank, untuk gol kedua Indera SC pada minit ke-73.

Minit ke-82 menyaksikan Mohd Nur Ikhwan Othman mengikat kedudukan pada 3-3, diikuti dengan jaringan kemenangan Sam Prank pada minit ke-86, yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan untuk memberikan Indera SC tiga mata penuh. Di Tutong, MS ABDB selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah satu gol lagi pada separuh masa kedua, dengan gol pertamanya hadir seawal minit pertama perlawanan menerusi jaringan Sarjan Mohammad Haizul Rani Metussin.

Namun Soldadu Razimie Ramli layak digelar wira MS ABDB dengan sumbangan hatriknya bermula dengan jaringan pertama peribadinya untuk gol kedua MS ABDB pada minit ke-16, disusuli dengan gol kedua peribadinya lima minit kemudian untuk gol ketiga pasukannya. Jaringan hatriknya pula hadir dalam babak kedua, pada minit ke-64.