MS ABDB di ambang juara

MS ABDB di ambang juara

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – MS ABDB semakin hampir menggenggam piala yang sudah terlepas dua kali dari tangannya apabila kini mengumpul 42 mata bagi membuka jurang 10 mata dengan pesaing terdekatnya yang merupakan juara dua musim berturut-turut, Indera SC, setelah bangkit dari ketinggalan 0-1 sebelum menang 2-1 ke atas Jerudong FC.

Hanya berbaki tiga perlawanan dalam Liga Super DST 2015 ini, MS ABDB kini hanya memerlukan satu kemenangan saja lagi untuknya sahih dimahkotakan sebagai juara kerana jumlah kutipan 45 mata sudah cukup tatkala Indera SC di tangga kedua kini mengumpul 32 mata cuma boleh menambah 12 mata maksimum dari baki 4 permainannya.

Dalam perlawanan pada minggu ke-6 pusingan kedua Liga Super DST 2015 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu, Jerudong FC memberikan kejutan awal apabila mendahului separuh masa pertama dengan kedudukan 1-0 hasil jaringan Hardy Anak Bujang pada minit ke-21.

MS ABDB bermain lebih baik pada babak kedua dan hanya empat belas minit selepas rehat iaitu pada minit ke-59, Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman sekali lagi melakukan tugasan utamanya buat MS ABDB menyamakan kedudukan, 1-1.

Soldadu Abdul Azizi terus menjadi penyumbang utama jaringan MS ABDB musim ini apabila turut menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-1 MS ABDB ke atas Jerudong FC.
Soldadu Abdul Azizi terus menjadi penyumbang utama jaringan MS ABDB musim ini apabila turut menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-1 MS ABDB ke atas Jerudong FC.

Sarjan Mohd Haizul Rani bin Metussin kemudian membawa MS ABDB ke depan menerusi jaringannya pada minit ke-74 yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan untuk memberikan MS ABDB tiga mata penting dalam usahanya memastikan kejuaraan musim ini tidak terlepas lagi.

MS ABDB dilihat pasti mencipta sejarah muncul juara Liga Super DST buat julung-julung kalinya pada minggu ketujuh kerana lawannya pada 23 Oktober itu nanti adalah pasukan tercorot yang baru mengutip 3 mata iaitu Kilanas FC.

Jerudong FC pula kekal menghuni tangga keenam dengan 17 mata dari 15 permainan, tujuh mata di belakang Tabuan Muda (15 permainan) di tangga kelima dan hanya satu mata di atas MS PDB (15 permainan) yang menduduki tempat ketujuh.