MS ABDB juara Liga Super DST

MS ABDB juara Liga Super DST

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 25 Okt – Dengan masih berbaki dua perlawanan, MS ABDB sudah pun mencipta sejarah menjadi pasukan kedua menjulang kejuaraan Liga Super DST sejak liga berprestij itu diperkenalkan pada 2013 menerusi kemenangan meyakinkan, 6-1 ke atas pasukan tercorot, Kilanas FC.

Dalam kejuaraan Liga Super DST pada 2013 dan 2014, pasukan yang menjuarainya ialah Indera SC manakala MS ABDB meraih naib juara.

Perlawanan berat sebelah di Kompleks Sukan Tutong pada malam Sabtu itu pada awalnya kelihatan agak seimbang jika melihat kepada jaringan kedua-dua pasukan yang terikat 1-1 walaupun juara baru berkenaan jelas mendominasi kawalan bola.

Namun pada separuh masa kedua pasukan tentera itu mempamerkan aksi hebat sekali gus membuktikan ia berada pada tahap lebih tinggi terutama pada aspek kecergasan pemainnya berbanding pemain lawan dengan ledakan lima gol pada tiga puluh minit terakhir perlawanan.

Membuka tirai jaringan buat pasukan yang baru menurunkan juara bertahan, Indera SC dari takhtanya itu ialah Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman pada minit ke-16, namun tatkala babak pertama dilihat berakhir 1-0, Brian Lim Yong Song memberikan Kilanas FC sesuatu untuk diraikan pada minit ke-44 untuk kedudukan 1-1 sebelum rehat.

MS ABDB mengesahkan statusnya sebagai ‘Juara Liga Super DST 2015’ selepas menewaskan Kilanas FC 6-1.
MS ABDB mengesahkan statusnya sebagai ‘Juara Liga Super DST 2015’ selepas menewaskan Kilanas FC 6-1.

Lima belas minit pertama babak kedua tidak menyaksikan sebarang jaringan gol namun masuk minit ke-61, usaha berterusan MS ABDB membuahkan hasil dengan ledakan gol Lans Korporal Mohamad Yusri bin Suhaili bagi pendahuluan 2-1.

‘Amukan’ sebenar MS ABDB bermula dengan jaringan ketiganya oleh Lans Korporal Haji Mohd Yusof bin Haji Mat Yasin pada minit ke-75 dan Kilanas FC tidak berupaya membendung gawangnya daripada terus dibolosi apabila kedudukan berubah 4-1 pada minit ke-78 menerusi jaringan Sarjan Mohammad Haizul Rani bin Metussin.

Dua minit berselang, penjaring utama MS ABDB, Soldadu Abdul Azizi mendapat gol keduanya malam itu untuk terus mematahkan semangat pemain Kilanas FC untuk kedudukan bertambah selesa buat MS ABDB pada kedudukan 5-1.

Ketika masa sebenar perlawanan sudah berlalu, MS ABDB masih belum puas meraikan kejuaraan yang baru dikecapi sehingga berjaya menambah jaringan pada masa kecederaan, minit ke-90+2, kali ini disumbangkan oleh Soldadu Mohammad Fadhli bin Haji Awang Salleh.

Kemenangan penuh bergaya pada Minggu Ke-7 Pusingan Kedua Liga Super DST 2015 itu memastikan kejuaraan tidak akan terlepas lagi dari genggaman MS ABDB walau apapun keputusan dua perlawanan terakhirnya nanti termasuk perlawanan penutup tirai edisi ketiga liga berkenaan menentang Indera SC pada malam 16 November nanti.

MS ABDB kini mengutip 45 mata tatkala Indera SC yang kini mengumpul 32 mata dari 14 permainan secara matematiknya hanya akan berjaya mengumpul 44 mata maksimum jika memenangi keempat-empat baki perlawanannya, sementara Najip i-Team yang kini di tangga ketiga dengan 30 mata dari 15 permainan hanya akan mampu mengumpul 39 mata maksimum.

pg23_151026_a

ARTIKEL YANG SAMA