MS ABDB julang Piala FA DST 2015

MS ABDB julang Piala FA DST 2015

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Tiga gol separuh masa pertama menyelamatkan MS ABDB dari kebangkitan lewat Indera SC bagi keputusan muktamad 3-2 untuknya mencipta kejuaraan hatrik Piala FA DST (2013, 2014 & 2015) dan kejuaraan berganda musim ini selepas turut menjuarai Liga Super DST 2015.

Hadir ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah menonton perlawanan akhir yang menyaksikan cerita berbeza di setiap separuh masa itu dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada kedua-dua pasukan ialah Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Selaku juara, MS ABDB membawa pulang piala rebutan, piala iringan juara, pingat emas dan wang tunai $7,000, manakala Indera SC sebagai naib juara menerima piala iringan naib juara, pingat perak dan wang tunai $5,000.

Separuh masa pertama final epik pertarungan sengit musuh tradisi itu menceritakan penghasilan tiga gol MS ABDB dalam tempoh 23 minit pertama perlawanan, itupun sejurus perlawanan disambung semula selepas dihentikan pada ketika perlawanan baru berlangsung tiga minit disebabkan oleh keadaan padang yang dibanjiri air akibat hujan lebat.

Hanya dua minit selepas perlawanan disambung semula, Indera SC dikejutkan dengan jaringan Soldadu Mohd Aliuddin bin Haji Besar untuk MS ABDB mendahului 1-0.

MS ABDB meraikan kejayaan menjulang Piala FA DST tiga tahun berturut-turut selepas menang 3-2 ke atas Indera SC.
MS ABDB meraikan kejayaan menjulang Piala FA DST tiga tahun berturut-turut selepas menang 3-2 ke atas Indera SC.

Keadaan menjadi bertambah selesa buat MS ABDB apabila wiranya di separuh akhir, Soldadu Razimie bin Ramli menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-12 iaitu hanya tujuh minit selepas jaringan pembuka tirai perlawanan.

MS ABDB terus mengambil kesempatan atas kecelaruan pertahanan Indera SC akibat dua bolos awal berkenaan apabila giliran penjaring utamanya, Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman pula mencatatkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-23 sekaligus mengemudi MS ABDB di depan dengan jaringan 3-0 sehingga rehat.

Bahagian kedua cerita final itu berlaku selepas rehat kedua bermula khususnya selepas pertengahan babak kedua perlawanan berkenaan apabila Indera SC mula mempamer kehebatan sebenarnya seperti yang sering dilakukannya di sepanjang musim, bangkit dengan ledakan jaringan.

Mohd Asri bin Haji Aspar menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71 untuk memberikan rakan-rakannya harapan kebangkitan sehingga menyebabkan Indera SC mula bermain lebih baik walau dihalang oleh hujan lebat yang turun dan keadaan padang yang agak berair. Para pemain MS ABDB mula gusar dan kelihatan goyah apabila Muhd Nur Ikmal bin Damit berjaya membolosi gawang MS ABDB pada minit ke-90 untuk mendekatkan jurang jaringan kepada 3-2.

MS ABDB cuba melengah-lengahkan masa dalam usahanya mematikan momentum positif Indera SC yang dilihat semakin bersemangat dan bertenaga mencari gol penyamaan, namun ternyata jaringan kedua itu agak lewat hadirnya untuk memberikan sebarang kesan kepada keputusan perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA