MS ABDB kukuhkan cengkaman

MS ABDB kukuhkan cengkaman

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – MS ABDB mengukuhkan cengkamannya di puncak Liga Super DST 2015 dan pada masa yang sama menambah jarak kutipan matanya dengan pesaingnya di tempat ketiga, Najip i-Team setelah mengalahkan pasukan itu 2-0 malam tadi.

Dua gol awal separuh masa pertama sudah cukup untuk MS ABDB mengutip tiga mata penuh apabila pertahanannya bermain cemerlang meneutralkan setiap serangan Najip i-Team walaupun penyerang MS ABDB sepatutnya boleh menambah jaringan dengan banyak sekali peluang keemasan tercipta tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

Menyumbangkan gol pertama MS ABDB adalah penyerangnya, Soldadu Razimie bin Ramli pada minit ke-4 manakala gol keduanya hadir menerusi sepakan penalti pemain tengahnya, Soldadu (U) Mohd Mazazizi bin Mazlan pada minit ke-16.

Kini MS ABDB mengumpul 33 mata dari 12 perlawanan disusuli Indera SC dengan 25 mata dari 11 permainan, sementara Najip i-Team kekal di tangga ketiga dengan 24 mata dari 12 perlawanan. Tempat keempat pula diambil alih oleh Wijaya FC yang menang 4-1 ke atas IKLS pada 14 September lalu untuk mengumpul 20 mata dari 11 perlawanan, disusuli Tabuan Muda dengan 20 mata, juga dari 11 permainan. Wijaya FC memiliki kelebihan jaringan (28 jaringan, 19 bolos, +9 perbezaan gol) berbanding Tabuan Muda (21 jaringan, 12 bolos, +9 perbezaan gol).