MS ABDB langk...

MS ABDB langkah kanan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambat oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) muncul pemenang Piala Sumbangsih Brunei DST 2017 tiga kali berturut-turut, dalam perlawanan pembukaan liga super yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas sebentar tadi.

Pasukan MS ABDB menewaskan Pasukan Indera SC, meskipun Mohd Asri Haji Aspar menempatkan Pasukan Indera di hadapan pada separuh masa pertama perlawanan, sebelum Razimie Ramli muncul wira bagi MS ABDB dengan menjaringkan dua gol, sekali gus membawa pasukannya menjulang piala rebutan kali ini.

Perlawanan berkenaan menyaksikan kehadiran Timbalan Pengurus Besar Perkhidmatan Teknologi Maklumat DST, Awang Amir bin Pehin Datu Pekerma Bijaya Kol (B) Dato Paduka Haji Hussin selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohammad Tawih bin Abdullah.

Tetamu kehormat ketika menyampaikan piala kepada Pasukan MS ABDB.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan piala kepada Pasukan MS ABDB.
Antara aksi menarik dalam perlawanan malam tadi.
Antara aksi menarik dalam perlawanan malam tadi.

Selepas perlawanan, Ketua Jurulatih MS ABDB, Bintara Haji Mesli Haji Dullah menegaskan pasukannya sedikit rapuh pada separuh masa pertama, namun percaturan strategi dan pertukaran pemain menjadi kunci utama kejayaan pasukannya hari ini.

“Kami tidak memandang rendah pihak lawan, sebaliknya kami melihat semua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing dan pastinya cabaran baru bagi musim liga super kali ini,” katanya.

Sementara itu Pengurus Pasukan MS ABDB, Mejar (U) Hasnul Alwe Haji Matassan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemain, selain mengucapkan syukur atas kejayaan pasukan sehingga menjulang piala ini buat kali ketiga berturut-turut.