MS ABDB menang besar

MS ABDB menang besar

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – MS ABDB terus memberikan tekanan kepada tiga pasukan teratas Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 selepas mencatat kemenangan selesa 10-3 ke atas pasukan tercorot, NFT.

Walau bagaimanapun perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu nampak sengit pada separuh masa pertama dengan kedudukan semasa rehat tercatat 4-3 memihak kepada MS ABDB.

MS ABDB bermula sempurna dengan mendahului 2-0 tatkala perlawanan baru berlangsung tiga minit hasil jaringan Mohd Wajdi pada minit ke-2 dan Abdul Hapiz pada minit ke-3.

Mohd Fardi mengejutkan penjaga gol MS ABDB dengan rembatannya yang menerjah gawang pada minit ke-7 untuk merubah kedudukan menjadi 2-1, namun Mohd Isa mengembalikan keselesaan jarak dua gol MS ABDB seminit kemudian.

Kedudukan 3-1 itu pun tidak kekal lama apabila giliran Mohd Wafiuddin pula mengejutkan penjaga gawang MS ABDB dengan percubaan jarak jauh beberapa saat kemudian untuk sekali lagi mendekatkan jaringan, kini kepada 3-2.

Abdul Hapiz (Jersi 2, kanan) melihat rembatan kencangnya menggegar gawang NFT untuk gol kedua MS ABDB dalam kemenangan 10-3 pasukannya.
Abdul Hapiz (Jersi 2, kanan) melihat rembatan kencangnya menggegar gawang NFT untuk gol kedua MS ABDB dalam kemenangan 10-3 pasukannya.

Zairul Hazmin merubah kedudukan menjadi 4-2 pada minit ke-14 tetapi NFT sekali lagi berjaya mengejar, juga hasil rembatan jarak jauh, pada minit ke-18 yang dijaringkan oleh Awangku Mohd Nazirul Mubin untuk membawa kedudukan 4-3 ke masa rehat.

Cerita berbeza dilakar MS ABDB pada separuh masa kedua apabila berjaya mencetak enam gol tanpa mampu dibalas walau satu gol pun oleh NFT.

Zairul Hazmin memulakan amukan babak kedua MS ABDB pada minit ke-24 disusuli jaringan Mohd Isa seminit kemudian, sebelum Arima menjadikan kedudukan 7-3 pada minit ke-26.

Ketika perlawanan sudah di penghujung waktu, perlawanan dijangka berakhir 7-3 tetapi MS ABDB ternyata berjaya menambah tiga gol lagi dalam tempoh tiga minit terakhir perlawanan.

Mohd Isa mencatat hatriknya pada minit ke-38, disusuli ledakan gol oleh Awangku Kamarul Zaman pada minit ke-39 dan kemudiannya jaringan Saiful Ariffin pada minit ke-40, hanya beberapa saat sebelum pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan.

Dalam perlawanan awal sebelum itu, Rizfiz FT mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pega Star FT untuknya kekal berada dalam kelompok enam terbaik, mengumpul 15 mata, enam mata di atas Pega Star FT yang menduduki tempat kelapan.

Kota Junior kekal di tempat teratas dengan 24 mata, diekori Shah United FC di tempat kedua dengan 21 mata dan Arbisyam FC di tempat ketiga dengan 18 mata. Ketiga-tiga pasukan teratas berkenaan sudah melalui lapan perlawanan.

MS ABDB yang sudah melalui sembilan perlawanan di tempat keempat dengan 18 mata dengan catatan +11 perbezaan gol, berbanding +18 catatan Arbisyam FC. PBDB FT pula berada di tempat kelima iaitu satu tangga di atas Rizfiz FT yang juga mengumpul 15 mata tetapi memiliki -5 perbezaan gol berbanding +2 buat Rizfiz FT.

NFT yang tewas buat kali ketujuh musim ini selepas melalui lapan perlawanan kini di tangga ke-11 liga dengan hanya 3 mata, tiga mata di belakang BIO FT di tempat ke-10 dan First Five FT di tempat kesembilan.

Street United FT dan Pega Star FC masing-masing mengumpul 9 mata di tempat ketujuh dan kelapan, dengan Street United FT memiliki -4 perbezaan gol sementara Pega Star FC mempunyai -18 perbezaan gol.