MS ABDB menang tipis ke atas Najip

MS ABDB menang tipis ke atas Najip

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 27 Mac – Juara bertahan, MS ABDB melakukan apa yang perlu dilakukannya, menang ke atas salah sebuah pasukan pesaing utamanya, Najip I-Team, walau sekadar tipis 1-0 untuk meneruskan kembara mempertahankan mahkota Liga Super Brunei DST musim ini.

Juara Liga Perdana Brunei DST musim lalu, Kota Ranger, buat pertama kalinya merasai manisnya kemenangan di liga teratas setelah berjaya menewaskan Jerudong FC dengan jaringan 4-2 malam tadi.

Pada aksi di Kompleks Sukan Tutong (KST) malam tadi, MS ABDB hanya memerlukan satu gol jaringan penjaring utamanya, Abdul Azizi bin Ali Rahman, yang terhasil pada minit ke-26 untuknya meraih tiga mata penuh.

Kemenangan itu sudah cukup untuk menghambat hajat Najip I-Team merebut takhta juara memandangkan musim ini liga hanya dijalankan dalam satu pusingan sahaja berbanding dua pusingan musim lalu. Sementara di Kompleks Sukan Berakas (KSB), Kota Ranger meledak dua jaringan pada setiap separuh masa ketika lawannya, Jerudong FC pula berjaya membolosinya sekali pada setiap separuh masa.

Kedudukan sudah menjadi 1-0 seawal minit pertama memihak Kota Ranger menerusi jaringan Awangku Ammar Hanafie bin Pengiran Hassanuddin.

MS ABDB catat kemenangan penting, 1-0 ke atas Najip I-Team malam tadi di KST.
MS ABDB catat kemenangan penting, 1-0 ke atas Najip I-Team malam tadi di KST.

Jerudong FC bagaimanapun berjaya mengimbangi perlawanan semula hanya lima minit kemudian apabila Hidayatur Rahim bin Aliuddin menemui sasarannya di gawang Kota Ranger.

Abang Nor Sillmy bin Abang Taha mengembalikan pendahuluan satu gol Kota Ranger pada minit ke-32 dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga rehat.

Bermulanya separuh masa kedua menyaksikan Kota Ranger melebarkan pendahuluannya kepada 4-1 hasil dua jaringan segera daripada Mohd Hairun Ikhwan bin Kusno dalam tempoh tiga minit, pada minit ke-52 dan 54.

Ketika perlawanan sudah melepasi masa 90 minit, perlawanan dijangka berakhir pada kedudukan 4-1, namun Jerudong FC rupanya masih sempat menghasilkan satu lagi gol saguhati pada minit ke-90+2 yang dijaringkan oleh Mohd Arif bin Ali Rahman.