MS ABDB raikan kejayaan Liga Super DST

MS ABDB raikan kejayaan Liga Super DST

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Pasukan Bola Sepak Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Pencapaian Liga Super DST Musim 2015 yang diadakan di Hotel Star Lodge, Jerudong.

Pada kejohanan tersebut, pasukan MS ABDB telah menjuarai liga selepas mengutip 49 mata menerusi  16 kali menang, satu seri dan satu tewas.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Kolonel(U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah yang juga selaku Penaung Pasukan Bola Sepak MS ABDB.

Turut hadir, timbalan-timbalan pemerintah Angkatan Tentera ABDB dan Komandan Institut Latihan ABDB, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid, selaku Pengerusi MS ABDB.

Kolonel(U) Shahril Anwar di majlis tersebut mengingatkan MS ABDB bahawa antara komponen bagi meningkatkan keupayaan sesebuah pasukan ialah menerusi latihan yang mantap dan berkesan.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama warga MS ABDB yang telah memenangi Liga Super DST 2015.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama warga MS ABDB yang telah memenangi Liga Super DST 2015.

Di sepanjang liga, Pasukan MS ABDB telah pun menunjukkan prestasi yang cemerlang sehingga dianugerahkan sebagai pasukan ‘Fair Play’ buat kali kedua dan diikuti dengan penganugerahan pemain terbaik yang diberikan kepada Sld Abdul Azizi bin Ali Rahman.

Di samping itu, dalam usaha untuk meningkatkan mutu bola sepak MS ABDB, seorang jurulatih telah dihantar bagi mengikuti  Kursus Jurulatih Kelas C Bola Sepak dan Kursus Kecergasan FIFA yang diiktiraf oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Bola sepak Asia (AFC) yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

Dengan menghadiri kursus tersebut jurulatih berkenaan diharapkan dapat mendidik dan melatih pemain-pemain MS ABDB dalam membuahkan hasil permainan yang lebih mantap dan berkualiti.

Pada malam itu juga diselajurkan dengan Majlis Anugerah Pemain Terbaik 2015 dan sebanyak tujuh anugerah telah diserahkan untuk pasukan bagi mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan pemain-pemain sepanjang tahun 2015 yang mana Sld Abdul Azizi bin Ali Rahman telah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Keseluruhan.

Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sumbangan kerusi roda daripada MS ABDB kepada Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) yang diserahkan oleh tetamu kehormat kepada Awang Tengah bin Ahmad dan pihak Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang diwakili Dayang Nordewati binti Abdul Wahab serta sumbangan alat-alat permainan serta wang tunai kepada Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) yang diserahkan kepada Dr. Hajah Norehan binti Haji Johari.