MS ABDB terikat 4-4 dengan Shah United FC

MS ABDB terikat 4-4 dengan Shah United FC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Harapan Arbisyam FC untuk sekurang-kurangnya menamatkan Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 di tangga ketiga dikecewakan oleh keputusan seri 4-4 MS ABDB dengan Shah United FC malam tadi.

Kemenangan salah satu dari pasukan itu akan memastikan Arbisyam FC muncul tempat ketiga tetapi dengan catatan seri itu ketiga-tiga pasukan mengumpul mata yang sama, 22, tetapi Shah United meraih naib juara dengan kelebihan 62 jaringan, sementara MS ABDB di tempat ketiga dengan 52 jaringan tatkala Arbisyam FC hanya mencatat 49 jaringan.

Keputusan seri itu juga memberi makna Kota Junior (24 mata) sudah mengesahkan kejuaraan BFL2015 menjadi miliknya ketika ia masih memiliki baki satu perlawanan, menentang Street United FT pada malam penutup BFL2015, Rabu, 10 Jun nanti.

Pada perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam tadi, Azwandi bin Rahim membawa MS ABDB ke depan 1-0 pada minit ke-11 tetapi Abdul Khabir menjadikan kedudukan 1-1 hanya seminit kemudian.

Pada minit ke-15 Shah United pula mendahului, 2-1, hasil jaringan Mohd Nawawi dan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

MS ABDB (hitam) dan Shah United FC (biru) berkongsi mata selepas seri 4-4 di minggu terakhir BFL2015 malam kelmarin.
MS ABDB (hitam) dan Shah United FC (biru) berkongsi mata selepas seri 4-4 di minggu terakhir BFL2015 malam kelmarin.

Awangku Md Nazirul Mubin memberikan Shah United FC kelebihan dua gol tiga minit selepas rehat, namun dua gol pantas Azwandi pada minit ke-24 dan 25 memastikan kedudukan kembali seimbang pada jaringan 3-3.

Walaubagaimanapun Abdul Muiz Sharizan memastikan Shah United FC terus di depan dengan jaringannya pada minit ke-26 untuk merubah kedudukan menjadi 4-3. Md Zairul Hazmin yang selalunya diharapkan mendapatkan jaringan buat MS ABDB nampak ganjil kerana agak sunyi di sepanjang perlawanan tetapi beliau kembali pada dirinya yang sebenar apabila meledakkan gol penyamaan pada minit ke-32, yang ternyata penting menghadiahkan tempat ketiga buat MS ABDB.

ARTIKEL YANG SAMA