MS ABDB terus kuasai liga

MS ABDB terus kuasai liga

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – MS ABDB terus menguasai puncak Liga Super Brunei DST 2016 walau sekadar menang tipis 1-0 ke atas Lun Bawang sementara Najip I-Team menang 4-2 ke atas Kota Ranger FC dan Jerudong FC meraih mata pertamanya setelah seri 2-2 dengan Tabuan U-21.

Pada aksi di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong, MS ABDB mendapat gol tunggal dan kemenangannya pada minit ke-30 perlawanan hasil ledakan Ramizie bin Ramli.

Aksi di Kompleks Sukan Tutong pula berlangsung sengit dengan kedudukan terikat 2-2 pada separuh masa pertama. Najip I-Team mendahului 2-0 menerusi jaringan Mohd Hanafizal Helman pada minit ke-7 disusuli gol Mohd Amirul Hamrey pada minit ke-20.

Abang Nor Sillmy menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-28 disusuli dengan gol penyamaan Kota Ranger FC pada minit ke-34 oleh Muhd Ari Saizulfadhli.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan gol tambahan dan Najip I-Team mendapatkan dua gol dalam tempoh lima minit, pada minit ke-63 menerusi Mohd Amirul Hakeem dan kemudiannya melalui jaringan Mohammad Azri pada minit ke-68.

MS ABDB menang 1-0 ke atas Lun Bawang untuk kekal di persada Liga Super Brunei DST 2016.
MS ABDB menang 1-0 ke atas Lun Bawang untuk kekal di persada Liga Super Brunei DST 2016.

Sementara perlawanan di Kompleks Sukan Berakas menyaksikan pembahagian penguasaan antara kedua-dua pasukan dengan Tabuan U-21 menguasai babak pertama sementara Jerudong FC menguasai babak kedua.

Tabuan U-21 mendahului 1-0 pada minit ke-20 hasil sumbangan gol Mohd Hanif Hamir, sebelum rakannya, Nurul Hadi Yusof sempat menjadikan kedudukan 2-0 di penghujung perlawanan menerusi jaringannya pada minit ke-45.

Jerudong FC yang sebelum ini tewas ketiga-tiga perlawanannya mendapat gol semangat sebelas minit selepas rehat selepas Muhd Hardyman Abdul Lamit berjaya menggegar gawang Tabuan U-21.

Gol penyamaan Jerudong FC hadir pada minit ke-68, hanya dua belas minit selepas gol Muhd Hardyman, dan ternyata ia menjadi gol terakhir perlawanan untuk keputusan muktamad 2-2.

Kini MS ABDB mengumpul 12 mata dari empat permainan di persada Liga Super Brunei DST 2016, disusuli Wijaya FC dengan sembilan mata dari empat perlawanan dan Najip I-Team di tempat ketiga dengan 8 mata dari lima permainan.

Tabuan U-21 di tempat keempat dengan tujuh mata selepas bermain lima kali, diekori MS PDB dengan empat mata dari tiga perlawanan di tangga kelima. Tangga keenam diisi Indera SC yang baru bermain sekali dengan tiga mata dan tujuh jaringan tanpa bolos.

Kasuka FC dengan tiga mata, satu jaringan dan lima bolos selepas baru dua kali bermain di tempat ketujuh, Kota Ranger FC dengan tiga mata, sembilan jaringan dan 14 bolos dari empat permainan di tempat kelapan, Lun Bawang dengan satu mata, tiga jaringan dan tujuh bolos dari empat perlawanan di kedudukan kesembilan, manakala Jerudong FC di tangga tercorot dengan satu mata selepas melalui empat perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA