MS ABDB terus mengganas

MS ABDB terus mengganas

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – MS ABDB meneruskan kemaraannya ke separuh akhir Piala FA DST 2015 setelah menewaskan Kelab Liga Perdana DST 2015, Kasuka FC dengan jaringan 5-1 malam tadi.

Tenaga dan momentum MS ABDB ternyata tidak berkurangan walaupun terpaksa mengharungi tiga perlawanan besar dalam tempoh hanya seminggu iaitu kemenangan besar 9-1 ke atas Wijaya FC pada 4 Disember disusuli dengan menewaskan Jerudong FC 3-1 pada 7 Disember dan terkini menang bergaya 5-1 ke atas Kasuka FC.

Lebih manis lagi dalam perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan ialah apabila penjaring utama MS ABDB, Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman berjaya meledakkan empat jaringan.

Dia membuka akaun jaringannya pada minit ke-14 untuk membawa MS ABDB di depan, 1-0, sebelum ditambah oleh rakannya, Soldadu Razimie bin Ramli empat minit kemudian untuk kedudukan berubah menjadi 2-0.

Soldadu Abdul Azizi mendapat jaringan keduanya pada minit ke-29 untuk kedudukan 3-0 yang kekal sehingga rehat.

Soldadu Abdul Azizi dibantu bangun oleh rakannya selepas dia meledakkan gol keempat peribadi dan kelima MS ABDB dalam kemenangan 5-1 ke atas Kasuka FC malam tadi.
Soldadu Abdul Azizi dibantu bangun oleh rakannya selepas dia meledakkan gol keempat peribadi dan kelima MS ABDB dalam kemenangan 5-1 ke atas Kasuka FC malam tadi.

Dua minit selepas rehat Kasuka FC mendapat talian hayatnya apabila Muhammad Hafis bin Mahari berjaya merobek gawang MS ABDB sekali gus mencantas pendahuluan MS ABDB kepada hanya dua gol.

Pada minit ke-57 Soldadu Abdul Azizi mencatat hatrik menerusi serangan balas pantas MS ABDB untuk merubah kedudukan menjadi 4-1 sekali gus mengembalikan pendahuluan tiga gol pasukannya.

Jaringan hatrik itu bukan menjadi kelibat terakhirnya menggegar gawang Kasuka FC apabila dalam situasi serupa pada minit ke-73, dia berjaya menyepak bola masuk ke gawang lawan hasil daripada hantaran lintang rakannya di sayap kanan.

Kini MS ABDB hanya perlu menanti lawannya di peringkat separuh akhir nanti, sama ada Tabuan Muda ataupun finalis yang ditewaskannya musim lalu, Najip I-Team. – Hasrulraizan