MS ABDB tundukkan PBDB FT

MS ABDB tundukkan PBDB FT

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – MS ABDB meraih tiga mata penting selepas menundukkan PBDB FT 4-1, manakala nasib malang BIO FT berterusan apabila menerima kekalahan ketiga berturut-turut, kali ini kepada Pega Star FT dengan jaringan 2-5.

Perlawanan kedua bagi Minggu Kedua Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu menyaksikan MS ABDB hanya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan lewat Mohd Ali pada minit ke-18 perlawanan.

Harun menjadikan kedudukan 2-0 tiga minit selepas rehat dan ketika perlawanan memasuki minit ke-30 MS ABDB mendahului 3-0 menerusi jaringan Mohd Saiful Ariffin.

Voli cantik Awangku Kamarul Zaman pada minit ke-37 yang menerjah sudut atas kiri gawang lawan menjadikan kedudukan 4-0 dan ketika perlawanan dijangka berakhir pada kedudukan itu, Abee Shahrum sempat meledak gol tunggal PBDB FT pada minit ke-39.

Sementara dalam perlawanan awal antara BIO FT dengan Pega Star FT menyaksikan BIO FT bermula cemerlang apabila sudah berjaya mendahului 2-0 sebelum rehat, hasil jaringan Mohd Sarif pada minit ke-14 dan Mohd Khairol pada minit ke-19.

Persaingan bola dalam petak PBDB FT (merah). MS ABDB menang 4-1 untuk mengutip 3 mata penuh.
Persaingan bola dalam petak PBDB FT (merah). MS ABDB menang 4-1 untuk mengutip 3 mata penuh.

Walaubagaimanapun Pega Star FT bangkit dengan ledakan lima gol pada babak kedua bermula dengan jaringan Mohd Dhyaulhak tiga minit selepas rehat dan kemudiannya Muhd Ali Qadhry pada minit ke-28 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Abdul Badri berjaya menghasilkan jaringan ketiga Pega Star FT pada minit ke-30 untuk membawa Pega Star FT buat pertama kalinya mendahului perlawanan, dengan jaringan 3-2.

Muhd Ali Qadhry kemudiannya sekali lagi berjaya menggegar gawang BIO FT pada minit ke-33 untuk menambah selesa pendahuluan pasukannya kepada 4-2. Awangku Mohd Hanis kemudiannya menutup tirai jaringan perlawanan pada minit ke-37 untuk keputusan muktamad 5-2 memihak Pega Star FT.

ARTIKEL YANG SAMA