MS PDB belasah IKLS FC 6-0

MS PDB belasah IKLS FC 6-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – MS PDB meneruskan kempen Liga Super DST 2015 dengan catatan kemenangan besar 6-0 ke atas IKLS FC dalam perlawanan pembuka tirai Minggu Keenam Pusingan Kedua liga di Kompleks Sukan Berakas (KSB) petang ini.

Hanya meledakkan dua gol pada separuh masa pertama termasuk satu gol pada masa kecederaan, MS PDB semakin bertenaga pada dua puluh minit terakhir separuh masa kedua dengan ledakan empat gol.

PC 5609 Mohd Zul Khairee bin Haji Mohd Salleh membuka tirai jaringan pada minit ke-10 untuk MS PDB mendahului 1-0 dan dua minit dalam masa kecederaan, PC 5880 Zulhamzi bin Haji Awang sempat menjaringkan gol kedua MS PDB untuk membawa pendahuluan 2-0 ke masa rehat.

Dua puluh empat minit pertama babak kedua menyaksikan IKLS FC berjaya membendung kemaraan MS PDB tetapi APO 6712 Mohd Syarafuddin Hamdi bin Haji Talip akhirnya berjaya membolosi gawang IKLS FC sebanyak dua kali iaitu pada minit ke-69 dan ke-78 untuk MS PDB terus selesa mendahului, kini dengan jaringan 4-0.

Mohd Syarafuddin Hamdi (jersi 23 jingga) menyumbat dua gol bagi membantu MS PDB menang 6-0 ke atas IKLS (hitam) di KSB.
Mohd Syarafuddin Hamdi (jersi 23 jingga) menyumbat dua gol bagi membantu MS PDB menang 6-0 ke atas IKLS (hitam) di KSB.

Enam minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir, PC 5609 Mohd Zul Khairee berjaya menyumbat gol kedua peribadinya untuk membawa MS PDB lima gol di depan sebelum APO 6533 Pengiran Mohd Muizzuddin bin Pengiran Ismail menutup tirai jaringan dengan golnya pada minit ke-90+2 untuk memuktamadkan keputusan 6-0.

Kemenangan yang dicatat selepas catatan seri 1-1 dengan Indera SC pada perlawanan penutup tirai Minggu Kelima Pusingan Kedua liga pada 12 Oktober lalu itu berjaya mendekatkan MS PDB (tangga ke-7) kepada hanya dua mata dengan pasukan di atasnya, Jerudong FC yang baru bermain 13 kali berbandingnya yang sudah bermain 14 kali.

Sementara IKLS FC kekal di tangga kelapan liga dengan 9 mata dari 14 perlawanan, masih satu mata di atas Lun Bawang yang menghuni tempat kesembilan, juga dari 14 permainan.

pg24_151017_b