M’sia akan bekerjasama dengan pereka bentuk China

M’sia akan bekerjasama dengan pereka bentuk China

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama)– Malaysia akan bekerjasama dengan pereka bentuk China bagi membangunkan reka bentuk perabot baru dan memasarkan produk perabot dalam talian yang kini semakin popular di China.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan eksport produk perabot ke China.

“Turut dipertimbangkan ialah usaha sama dalam mempromosi produk perabot reka bentuk asli di pasaran China dengan usaha pemasaran diteraju oleh sektor swasta,” katanya. Beliau yang dipetik berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, berucap pada jamuan tengah hari dengan tujuh wakil daripada industri perkayuan China di Shanghai pada Jumaat, sebagai sebahagian daripada Misi Promosi Minyak Sawit dan Perkayuan selama lima hari ke China.

Uggah turut melawat Ekspo Perabot Antarabangsa China 2016, dikenali sebagai ‘Furniture China’, iaitu antara pameran perabot terbesar di dunia, dianjurkan oleh Persatuan Perabot Kebangsaan China (CNFA).

Malaysia diwakili oleh Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) yang membuka Pavilion Malaysia berkeluasan 750 meter persegi. Ini adalah kali pertama MTC menganjurkan penyertaan secara kumpulan, melibatkan 19 pengeluar perabot dari Malaysia yang mempamerkan produk seperti set meja makan, set bilik tidur dan perabot pejabat.