M’sia akan bina jalan raya getah

M’sia akan bina jalan raya getah

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) – Kerajaan Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan harga getah asli akan membina jalan raya getah, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Douglas Uggah Embas.

“Kita perlu meningkatkan penggunaan getah dan kerajaan menyasar menggunakan 10 peratus daripada jumlah pengeluaran getah tahun ini,” katanya sambil menambah Indonesia dan Thailand juga bersetuju melakukan perkara yang sama.

Uggah berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Sesi Khas peringkat menteri Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) di sini, hari ini.

Negara pengeluar utama Thailand, yang mengumumkan rancangan yang sama untuk menggunakan getah bagi jalan raya, laluan pejalan kaki dan takungan air, menggunakan 3.5 tan metrik getah asli bagi setiap 1 kilometer jalan raya. Uggah juga berkata harga getah Malaysia dijangka pulih semula tahun ini mendapat rangsangan daripada permintaan yang kembali semula dari China.

Uggah juga berkata harga getah asli yang berada dalam aliran menurun sejak beberapa tahun lepas telah menjejaskan pendapatan pekebun kecil. Sehingga 12 tengah hari ini, harga SMR 20 berada pada RM5.34 sekilogram.

Pada Khamis, Jawatankuasa Eksekutif ANRPC bertemu bagi membincangkan kestabilan harga jangka panjang dan isu-isu lain.

“Rumusan bagi strategi dan tindakan untuk mengekang penurunan harga getah asli dijangka dicapai selepas 15 Oktober tahun ini, apabila cadangan semasa mesyuarat agung tahunan itu akan dibentangkan untuk dibincangkan,” katanya. Mesyuarat antara negara-negara anggota itu akan memastikan platform dagangan bersama bagi getah asli yang akan menghubungkan sistem sedia ada di negara-negara anggota ANRPC untuk menyediakan harga yang lebih reflektif bagi getah asli berasaskan kepada penawaran dan permintaan.

Sebelas anggota ANRPC termasuklah Kemboja, India, Indonesia, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Singapura dan China yang menyumbang 92 peratus daripada pengeluaran getah asli dunia pada 2014. Singapura dan China tidak menghadiri mesyuarat itu.

Dalam hal yang berkaitan, Uggah berkata Vietnam, negara pengeluar getah asli ketiga terbesar dunia bersetuju untuk bekerjasama dengan Thailand, Indonesia dan Malaysia di bawah naungan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) untuk meningkatkan harga getah.

Keempat-empat negara ini menyumbang kira-kira 75 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia.

Ditanya mengenai status Vietnam menyertai ITRC, beliau berkata: “Mereka bersetuju untuk menyertai ITRC, bagaimanapun, ini belum dimuktamadkan lagi.

“Kami mahu mereka menjadi sebahagian daripada majlis secepat mungkin. Malahan, mereka sebenarnya berada di sini, hari ini, menunjukkan mereka bersedia untuk bekerja bersama-sama dengan negara pengeluar getah lain,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA