M’sia akan kembang formula SAE ke ASEAN pada 2017

M’sia akan kembang formula SAE ke ASEAN pada 2017

CYBERJAYA, 10 Okt – Malaysia akan memperluaskan pertandingan reka bentuk berasaskan automotif oleh penuntut pusat pengajian tinggi, Formula Society of Automotive (SAE), ke negara ASEAN tahun depan.

Ketua Eksekutif, Institut Automotif Malaysia, Datuk Madani Sahari, berkata Formula SAE di peringkat ASEAN itu menyasarkan penyertaan 30 universiti awam dan swasta dari 10 negara ASEAN.

“Kerjasama ini akan membantu merangsang minat dan pendedahan industri kereta Malaysia di peringkat rantau dan global.

“Masa depan pembuatan kenderaan memerlukan modal insan yang boleh menghadapi kerumitan produk dan proses kereta yang semakin meningkat.

“Formula SAE merupakan usaha penting untuk mempercepatkan pertumbuhan tenaga mahir dalam membangunkan kompetensi dan keupayaan yang lebih maju dalam industri kereta,” katanya semasa sidang media mengenai Formula SAE ASEAN di sini, hari ini.

Madani turut menyampaikan cek bernilai RM35,000 dan plak kepada Universiti Teknologi Mara selepas muncul sebagai Pasukan Keseluruhan Terbaik di Formula SAE yang berlangsung dari 5 hingga 9 Oktober di Litar Speedway Plus, USJ, Subang Jaya.

Tujuh pasukan dari enam universiti bersaing dalam pertandingan reka bentuk pelbagai peringkat itu untuk menguji pengetahuan dan kemahiran penuntut kejuruteraan teknologi automotif.

Formula SAE merangkumi aspek penyelidikan, reka bentuk, pembuatan, pengujian, pembangunan, pemasaran dan pengurusan industri kereta. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA