M’sia antara negara pertumbuhan tinggi utama di Asia Pasifik bagi Honeywell

M’sia antara negara pertumbuhan tinggi utama di Asia Pasifik bagi Honeywell

SINGAPURA, 27 Mac (Bernama) – Asia Pasifik merupakan wilayah penting yang menawarkan peluang belum diteroka bagi pertumbuhan berterusan dan Honeywell, berpangkalan di Amerika Syarikat, telah mengenal pasti Malaysia sebagai antara negara pertumbuhan tinggi utamanya.

“Satu bidang yang kami yakin adalah pertumbuhan pasaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia dan rantau itu,” kata Presiden Honeywell Aerospace di Asia Pasifik, Steve Lien dalam satu temu bual melalui e-mel dengan Bernama.

Honeywell Aerospace merupakan antara bahagian dalam konglomerat Honeywell International.

Merujuk kepada Cavok Group, Lien berkata pasaran MRO diunjurkan bernilai AS$34.8 bilion (AS$1=RM4) di rantau Asia Pasifik pada 2025, berbanding AS$21.3 bilion di Amerika Utara, dan AS$24.9 bilion di Eropah.

“Pertumbuhan di rantau berkenaan memberi petanda baik bagi Malaysia,” katanya.

Honeywell menyedari Malaysia ketika ini memberi tumpuan kepada perkembangan MRO penerbangan dan perkhidmatan kejuruteraan khusus bagi mendapat penguasaan pasaran yang lebih besar. Bagi menyokong pertumbuhan itu, Lien berkata Honeywell menjadi syarikat global pertama yang akan menyertai usaha Hab Prinsipal Malaysia.

Mengikut usaha tersebut, beliau berkata Honeywell akan mampu memperuntukkan sumber yang lebih baik untuk menyokong pelan pengembangan perniagaan di Malaysia dan rantau berkenaan, dan “kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada usaha tersebut”. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), operasi Honeywell di Malaysia bermula pada 1985.

Kini, ia mempunyai lebih 1,450 kakitangan di enam bandar di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang, Kemaman dan Johor Bahru.

Penyelesaian dan teknologi Honeywell membantu Malaysia dalam perkembangannya bagi masyarakat terjamin, lebih selamat dan cekap tenaga.

Hari ini, tiga daripada kumpulan perniagaan Honeywell beroperasi di Malaysia.

Honeywell Aerospace mempunyai kemudahan seluas 220,000 kaki persegi di Pulau Pinang yang dibuka secara rasmi pada Januari 2009.

Kemudahan itu mengeluarkan sistem avionik bersepadu untuk penerbangan komersial, perniagaan dan am serta pesawat tentera.