M’sia, Arab Saudi tandatangani perjanjian kerjasama

M’sia, Arab Saudi tandatangani perjanjian kerjasama

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) – Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan.

Malaysia diwakili Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz manakala Arab Saudi oleh Presiden dan Pengerusi Lembaga Suruhanjaya Pelancongan & Warisan Negara Saudi Putera Sultan bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata kedua-dua pihak bersetuju mengambil langkah perlu bagi menggalakkan promosi dan kerjasama dalam sektor pelancongan melalui permuafakatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta latihan bersama dalam program berkaitan pelancongan.

Ia juga meliputi pertukaran bahan publisiti dan promosi mengenai pelancongan dan statistik pelancongan, penganjuran bersama mesyuarat, konvensyen serta pameran pasaran dan perdagangan mengenai pelancongan, kemajuan industri kraf tangan dan penggalakkan aktiviti ekonomi melalui pelancongan, katanya.

“Pemeteraian MoU ini tepat pada masanya memandangkan Malaysia dan Arab Saudi berminat untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor pelancongan berlandaskan rangka kerja undang-undang dan peraturan sedia kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, melalui agensinya, Tourism Malaysia, ia giat mempromosikan Malaysia di Timur Tengah melalui jerayawara dan penyertaan dalam pelbagai pasaran dan pameran pelancongan.

Sehingga Februari 2016, 127 warga Arab Saudi mendapat kelulusan untuk menyertai program Malaysia My Second Home (MM2H) (Malaysia Rumah Keduaku).

ARTIKEL YANG SAMA