M’sia arah cari pelarian

M’sia arah cari pelarian

SITTWE, Myanmar, 21 Mei – Malaysia mengarahkan operasi mencari dan menyelamat hari ini bagi beribu-ribu pelarian yang terkandas di laut, ketika Myanmar bersedia untuk rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) dan utusan Asia Tenggara mengenai kebanjiran penghijrah di pesisir lautnya.

Arahan menyelamat, langkah proaktif rasmi pertama untuk menyelamatkan penghijrah Rohingya Islam dan Bangladesh berlaku sehari selepas Malaysia dan Indonesia mengatakan mereka akan menamatkan dasar mengusir kapal-kapal.

“Kita perlu mencegah kehilangan nyawa,” kata Perdana Menteri Malaysia Najib Razak di akaun Facebooknya, mengumumkan langkah-langkah itu.

Jurucakap kementerian luar Indonesia Armanatha Nasir memberitahu AFP, negaranya belum lagi mengeluarkan arahan serupa, namun isu itu adalah ‘sesuatu yang akan dibincangkan’.

Ketika krisis pendatang itu berkembang, Malaysia, Indonesia dan Thailand selama berhari-hari enggan membawa masuk kapal-kapal penuh dengan penumpang keletihan yang melarikan diri daripada kemiskinan atau penganiayaan.

Namun pada Rabu, Malaysia dan Indonesia berlembut, mengumumkan negara-negara mereka akan menerima pelarian dalam kapal selama setahun atau sehingga mereka boleh ditempatkan atau dihantar pulang dengan bantuan agensi antarabangsa.

Dasar berubah haluan itu disambut baik oleh Amerika Syarikat yang Timbalan Setiausaha Negaranya Antony Blinken dijadualkan membangkitkan isu Rohingya bersama dengan pegawai Myanmar di Nyapyidaw, ketika negaranya mengatakan ia bersedia untuk menerima beberapa penghijrah.

Mesyuarat dijangka berlangsung lewat hari ini. Menteri Luar Malaysia, Anifah Aman dan rakan sejawatnya, Retno Marsudi Aman juga dijangka bertemu dengan pegawai Myanmar bagi rundingan dua hala. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA