M’sia capai sara diri susu 5 tahun lagi

M’sia capai sara diri susu 5 tahun lagi

KENINGAU, 29 Dis – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin Malaysia berupaya mencapai tahap sara diri bekalan susu dalam tempoh lima tahun akan datang melalui sistem pengeluaran yang baik serta peruntukan modal sewajarnya.

Beliau berkata bekalan susu negara kini masih banyak bergantung kepada import iaitu kira-kira 20 juta liter setahun dari negara seperti New Zealand dan Australia.

“Saya menjangkakan bahawa keperluan susu kita daripada terlalu bergantung kepada import dapat dipenuhi dalam masa lima tahun kalau kita dapat bangunkan suatu sistem yang betul serta berkesan. Ianya adalah sesuatu yang dalam jangkauan kita.

“Ianya memerlukan sedikit pelaburan daripada kerajaan dan komitmen daripada kalangan pengusaha dan juga tempat yang sesuai untuk tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika melawat ladang lembu tenusu Evergreen Livestock di Kampung Bomboi dekat sini hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, sekirannya bilangan lembu tenusu di negara ini dapat ditingkatkan sebanyak kira-kira 10,000 ekor berbanding bilangan minimum sekarang dengan menggunakan model pengeluaran sedia ada serta pengusaha lembu tenusu yang berkebolehan, Malaysia berupaya mengeluarkan susu lembu sehingga 30 juta liter setahun.

Datuk Ahmad Shabery Cheek memberi rumput kepada lembu betina sambil diperhatikan oleh Pengurus Ladang Ternakan Evergreen Livestock Sdn Bhd Datuk Yap Yun Fook ketika melawat ladang lembu tenusu Evergreen Livestock di Kampung Bomboi hari ini. – Bernama
Datuk Ahmad Shabery Cheek memberi rumput kepada lembu betina sambil diperhatikan oleh Pengurus Ladang Ternakan Evergreen Livestock Sdn Bhd Datuk Yap Yun Fook ketika melawat ladang lembu tenusu Evergreen Livestock di Kampung Bomboi hari ini. – Bernama

Ahmad Shabery berkata jumlah pelaburan yang diperlukan bagi memenuhi sasaran berkenaan termasuk penyediaan infrastruktur yang dianggarkan sebanyak RM200 juta.

Mengenai kemampuan Sabah dalam industri tenusu, beliau yakin model perusahaan yang dibangunkan di Sabah adalah baik selain kesesuaian negeri itu khususnya Keningau dalam industri berkenaan.

Katanya model ternakan lembu tenusu di Sabah telah diuji dan ternyata menghasilkan suatau hasil yang membanggakan. – Bernama