M’sia di tempat ke-14 paling kompetitif di dunia

M’sia di tempat ke-14 paling kompetitif di dunia

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) – Malaysia mengekalkan kedudukannya dalam kalangan 15 negara paling kompetitif di dunia, berada di tangga ke-14 dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2015 (WCY) terbaru yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.

Walaupun turun daripada kedudukan ke-12 pada tahun lepas, negara menambah baik skornya kepada 84.11 daripada 82.09 yang dicapai tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan.

Rangking itu dinilai bagi 61 buah negara tahun ini berbanding 60 tahun lepas. Senarai 15 negara teratas itu adalah Amerika Syarikat yang berada di kedudukan teratas dengan skor (100.00), dan seterusnya Hong Kong

(96.04), Singapura (94.95), Switzerland (91.92), Kanada (90.41), Luxembourg (89.41), Norway (87.92), Denmark (87.08), Sweden (85.92), Jerman (85.64), Taiwan (85.41), Emiriah Arab Bersatu (84.75), Qatar (84.63), Malaysia (84.11), Belanda (83.62).

Beliau berkata Malaysia berada di kedudukan lebih tinggi berbanding negara-negara seperti Belanda (ke-15), Ireland (ke-16), New Zealand (ke-17), Australia (ke-18), United Kingdom (ke-19), Finland (ke-20), Korea (ke-25) dan Jepun (ke-27).

“Walaupun rangking kita turun dua tangga dalam laporan terbaru ini, berada di senarai 15 teratas dalam kalangan negara paling kompetitif menunjukkan daya tahan dan daya saing ekonomi kita.

“Langkah meneruskan pembaharuan fiskal, inisiatif mengawal kenaikan kos hidup, pempelbagaian ekonomi, meningkatkan keupayaan dan kepakaran, mengkaji semula sistem pendidikan dan membaharui serta memodenkan sistem cukai menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan akan membolehkan Malaysia kekal kompetitif di persada global,” kata Mustapa.

WCY juga menyenaraikan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan 30 ekonomi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kurang daripada AS$20,000, mengekalkan kedudukan sebelumnya.

Dalam kalangan 28 negara dengan penduduk melebihi 20 juta, Malaysia berada di tangga kelima paling kompetitif, manakala dalam kalangan anggota ASEAN negara kekal di kedudukan kedua serta keempat dalam kalangan 14 negara di rantau Asia Pasifik.

WCY menyediakan penilaian paling objektif bagi daya saing negara-negara dalam dunia global hari ini berdasarkan kepada empat faktor – prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan prasarana.

Antara empat faktor itu, Malaysia mencatatkan peningkatan dalam petunjuk prestasi ekonomi, naik tiga tangga ke kedudukan keenam daripada tempat kesembilan tahun lalu.

Mustapa berkata ini disokong peningkatan ketara dalam dua subsektor iaitu ekonomi domestik dan pekerjaan.

Laporan itu menyatakan pelaksanaan Program Transformasi telah membuahkan hasil positif dan menyumbang kepada daya tahan ekonomi.

Ini termasuk inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan, yang berada di landasan untuk membolehkan Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

ARTIKEL YANG SAMA