M’sia dijemput jadi ahli Lembaga Pengarah SMIIC bantu OIC

M’sia dijemput jadi ahli Lembaga Pengarah SMIIC bantu OIC

ISTANBUL, 25 Mei – Malaysia yang dikenali sebagai peneraju dalam standard halal global, terus mendapat pengiktirafan apabila dijemput menjadi ahli Lembaga Pengarah dalam Institut Standard dan Metrologi untuk Negara-Negara Islam (SMIIC).

SMIIC merupakan sebuah institusi berkaitan bagi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang memainkan peranan dalam pengharmonian standard antara negara-negara OIC terutamanya yang berkaitan standard halal.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadilah Baharin berkata penglibatan Malaysia sebagai ahli lembaga pengarah SMIIC dilihat penting dalam membantu negara-negara OIC untuk proses pengharmonian itu.

“Malaysia telah dijemput menjadi ahli Lembaga Pengarah di mana lembaga ini akan membentuk hala tuju negara-negara OIC dari segi standard terutamanya standard halal.

“Dengan penglibatan Malaysia, kita akan mempunyai suara yang lebih kuat dan sokongan padu dari negara-negara OIC terutamanya dalam menjadi salah satu peneraju ke arah proses pengharmonian standard,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Dalam kalangan negara-negara OIC, hanya 13 negara menjadi ahli Lembaga Pengarah SMIIC termasuk Turki, Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi dan pemilihan ahli Lembaga Pengarah adalah berdasarkan konsensus.

Malaysia ketika ini bertindak sebagai pemerhati dalam Lembaga Pengarah SMIIC dan telah menjadi ahli selama dua tahun.

“Agenda kuat Malaysia adalah memberi pendedahan dan latihan melalui pengalaman kita di mana standard halal boleh diterap di negara-negara OIC dan menerusi SMIIC, Malaysia boleh menyumbang kepada keupayaan negara-negara OIC.

“Kita (Jabatan Standard) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bersama-sama berganding bahu dalam mencapai hasrat ini. Kita harap dapat menjadi ahli Lembaga Pengarah menjelang akhir tahun ini,” kata Fadilah.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Dr Sirajuddin Suhaimee berkata Malaysia telah lama dikenali sebagai sebuah negara Islam yang terkehadapan dalam pelbagai inisiatif berkaitan halal.

“Kita sahaja yang ada 13 standard yang berkaitan halal dan standard-standard ini digunakan sebagai panduan kepada industri dan badan pensijilan halal yang ada di Malaysia seperti majlis agama islam negeri dan juga badan antarabangsa,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA