M’sia, EU setuju sambung rundingan FTA

M’sia, EU setuju sambung rundingan FTA

CHIANGMAI, 3 Mac (Bernama) – Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menyambung semula rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang tertangguh sejak tiga tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Perdagangan EU Cecilia Malmstrom pagi ini berkata, kedua-dua pasukan perunding akan bertemu semula pada pertengahan atau akhir April ini.

“Malaysia dan EU telah bersetuju untuk terlibat semula (dalam rundingan FTA) dan kedua-dua pasukan perunding akan mengadakan rundingan sama ada pada pertengahan atau akhir April ini,” katanya kepada Bernama pada sesi Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-22 di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia dan EU telah memulakan rundingan berkenaan FTA kira-kira lima tahun lepas tetapi tertangguh sejak tiga tahun lalu disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Katanya antara sebab penangguhan itu ialah pada masa sama Malaysia terlibat dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), selain kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan dalam beberapa perkara.

Selain Malaysia, EU juga sedang mengadakan rundingan FTA dengan beberapa negara ASEAN termasuk Indonesia, Thailand dan Filipina, manakala rundingannya dengan Vietnam baharu sahaja tamat, katanya.

Ditanya sama ada terdapat tempoh tertentu untuk memuktamadkan perjanjian FTA dengan EU itu, Mustapa berkata tiada tempoh tertentu untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan kesatuan itu.

Malmstrom mengetuai delegasi EU ke Chiangmai untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri-menteri Ekonomi ASEAN hari ini dan kedua-dua pihak akan mengadakan sidang media bersama lewat petang ini.