M’sia harap dipilih semula anggotai Majlis ICAO

M’sia harap dipilih semula anggotai Majlis ICAO

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Malaysia berharap akan dipilih semula menduduki kerusi majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada Perhimpunan Agung ICAO ke-39 di Montreal, Kanada.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan hari ini berkata beliau akan mewakili Malaysia ke perhimpunan itu, yang bermula esok (27 Sept) hingga 7 Okt.

“Kami berharap dapat terus memainkan peranan untuk mewujudkan langit lebih selamat dan perjalanan udara lestari untuk sektor penerbangan awam global.

“Sebagai satu daripada penggiat utama dalam sektor penerbangan ASEAN yang sedang berkembang, Malaysia amat komited untuk memainkan peranan kami bagi meningkatkan standard keselamatan, di samping memupuk kerjasama antarabangsa lebih erat dalam kalangan negara penerbangan awam,” katanya.

Beliau juga percaya kerjasama itu akan menjadi asas bagi kewujudan peluang dan manfaat baharu dari segi sosioekonomi bagi semua negara anggota ICAO.

Liow berkata sebagai agensi khusus Pertubuhan Bangsa Bersatu, ICAO memainkan peranan penting dalam mengemudi pertumbuhan sektor penerbangan awam diseluruh dunia.

“Malaysia memberi fokus untuk menyokong inisiatifnya, ‘No Country Left Behind’, agar standard dan amalan antarabangsa yang disyorkannya dijunjung tinggi,” kata beliau. ICAO mempunyai 191 negara anggota. Malaysia menganggotainya sejak 1958 dan berkhidmat sebagai anggota majlis ICAO bagi tiga penggal berturut-turut sejak dilantik kali pertama pada 2007. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA