M’sia, India bekerjasama tumpas keganasan

M’sia, India bekerjasama tumpas keganasan

PUTRAJAYA, 23 Nov (Bernama) – Malaysia dan India akan bekerjasama untuk menumpaskan ekstremisme dan keganasan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam sidang akhbar bersama-bersama Perdana Menteri India Narendra Modi selepas mengadakan perbincangan dua hala di sini hari ini, Najib berkata Malaysia dan India berkongsi matlamat dalam memerangi ekstremisme dan keganasan.

“Kami menjangka untuk menangani keganasan dan bekerjasama rapat untuk menumpaskan ekstremisme dan keganasan,” katanya. Mengakui India mempunyai industri pertahanan yang sangat dinamik dan kuat, Najib berkata kementerian berkaitan di Malaysia dan India akan membincangkan kemungkinan untuk mengembangkan hubungan bidang pertahanan dan keselamatan dua hala.

Sementara itu, Modi berkata beliau amat menghargai kerjasama keselamatan dengan Malaysia kerana ia menggariskan komitmen bersama untuk menangani cabaran keselamatan.

Beliau berkata serangan berturut-turut di beberapa negara, selain cubaan serangan keganasan tanpa henti menentang India dan Afghanistan, merupakan satu peringatan terhadap ancaman global. Begitupun, India dan Malaysia akan terus mengukuhkan kerjasama dalam bidang berkaitan.

Narendra Modi ketika mengadakan lawatan bersama Perdana Menteri Malaysia selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di Kuala Lumpur. – AFP
Narendra Modi ketika mengadakan lawatan bersama Perdana Menteri Malaysia selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di Kuala Lumpur. – AFP

“Perdana Menteri (Najib), anda telah memimpin ke arah memerangi ekstremisme dan puak radikal, menolak sebarang kaitan antara keganasan dan agama sambil menekankan nilai-nilai sebenar Islam.

“Ini adalah sumbangan besar terhadap aspek penting ke arah usaha global kami menentang cabaran ini,” kata Modi.

Modi berkata India dan Malaysia akan mengukuhkan kerjasama pertahanan, termasuk mempertingkatkan keselamatan maritim serta tindak balas terhadap bencana di rantau ini.

“Saya gembira kerana kami bersetuju untuk menaik taraf latihan bersama dan menubuhkan Forum SU-30.

“Kami akan melakukan lebih banyak dari segi kerumitan latihan dan kerjasama dalam latihan serta peralatan pertahanan,” katanya.

Dalam satu kenyataan bersama mengenai usaha mempertingkatkan Kerjasama Strategik Malaysia-India yang dikeluarkan sempena mesyuarat dua hala berkenaan, Malaysia dan India bersetuju untuk terus berkongsi maklumat dan amalan terbaik dalam menangani cabaran yang wujud akibat daripada keganasan dan ancaman tradisional dan bukan tradisional yang lain.