M’sia jadi pusat pengesahan barangan antik China

M’sia jadi pusat pengesahan barangan antik China

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Malaysia akan menjadi pusat perkhidmatan pengesahan barangan antik China berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MIMDAS Sdn Bhd dan Guangdong Han Chun Xuan Art Exhibition Co Ltd, di sini, hari ini.

Penasihat program itu, Tan Sri Ong Tee Keat berkata MoU itu akan membabitkan usaha pakar China membuat pengesahan dan mengeluarkan sijil berkaitan bagi artifak China di sekitar Malaysia.

“Pada masa ini, usaha pengesahan artifak China kian mendapat sambutan di China dan ada ruang bagi perkembangannya. Oleh itu, MoU ini menjadi langkah penting bagi memperkukuhkan kerjasama antara Malaysia dan China.

“Program ini juga ada potensinya dan sejajar penemuan beberapa artifak di perairan kita selama ini yang diminati banyak pihak,” katanya pada satu sidang media selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu.

Di China, aktiviti lelongan tembikar, jed, perabot dan bahan antik lain ternyata terus meningkat saban tahun daripada AS$2.1 bilion pada 2014 kepada AS$2.2 bilion pada 2015.

Sementara itu, Pengarah MIMDAS Michelle Chuah menyifatkan kewujudan perkhidmatan pengesahan dan penilaian antik China sebagai detik bersejarah kerana membolehkan penduduk di Asia Tenggara menentusahkan serta memperakui barangan pusaka mereka.

“Perkhidmatan penilaian ini akan dapat membantu ramai pihak, terutama rakyat Malaysia bagi menyelami potensi sebenar barangan pusaka mereka atau memperoleh maklumat mengenai nilai sebenar pelaburan dalam barangan antik,” katanya.

Dua pakar barangan antik dari China, He Qingzheng dan Zheng Ning akan memulakan sesi penilaian itu bermula hari ini sehingga Ahad.

Mereka akan membantu warga Malaysia menilai serta mengesahkan barangan antik berkaitan.

Malah, jika perlu, mereka akan turut mengeluarkan sijil pengesahan bagi pengiktirafan rasmi barangan berkenaan sebagai koleksi zaman lampau. – Bernama