M’sia, Jepun meterai MoC kukuhkan perdagangan

M’sia, Jepun meterai MoC kukuhkan perdagangan

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) di Tokyo, untuk menggandakan usaha menggalakkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Matrade, MoC itu menandakan komitmen kukuh untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang manfaat bersama, seperti permudahan akitiviti promosi perdagangan, pertukaran maklumat, kerjasama dalam program dan projek khusus untuk mempromosikan sektor halal.

Penandatanganan MoC itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Shinzō Abe.

Ia merupakan sebahagian usaha sempena misi perdagangan dan pelaburan di Tokyo, diketuai Najib.

Semasa majlis itu, Najib mencadangkan Malaysia menjadi penasihat halal Jepun sebagai persediaan untuk Olimpik Tokyo 2020, khususnya dalam memberi nasihat dan pematuhan syariah untuk produk serta perkhidmatan yang akan disediakan kepada pengguna Islam semasa temasya sukan terbesar dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata Jepun melihat jenama Malaysia adalah berkualiti tinggi, justeru itu, Malaysia memperoleh kesetiaan pengguna Jepun.

“Kita melihat permintaan kukuh untuk produk Malaysia disediakan semasa Olimpik Tokyo, khususnya dalam segmen halal,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA