M’sia kali pertama sambut Hari Lelaki Sedunia

M’sia kali pertama sambut Hari Lelaki Sedunia

LUNDU, 11 Mac (Bernama) – Malaysia buat pertama kali akan menyambut Hari Lelaki Sedunia pada 19 November ini, demikian diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata beberapa pihak telah mencadangkan supaya hari istimewa itu disambut di negara ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan kaum lelaki sama seperti sambutan Hari Wanita yang diadakan selama ini.

Selain itu, kementerian turut bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan rumah perlindungan lelaki terutama bagi golongan suami yang berdepan dengan krisis rumah tangga, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran serentak Program Kembara@KPWKM dan Kembara Kebajikan 1Malaysia di Kompleks Sukan Lundu di sini, Jumaat.

Mengenai Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam), Rohani berkata program itu telah berjaya mengeluarkan sejumlah 170,000 orang daripada belenggu kemiskinan menerusi program sosio-ekonomi yang dilaksanakan.

“Tujuh puluh peratus daripada jumlah itu adalah wanita,” katanya, dan menambah mereka terbabit masih terus dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Rohani turut menyatakan bahawa sejumlah 500,000 rakyat negara ini yang kurang berkemampuan menerima bantuan kebajikan masyarakat membabitkan perbelanjaan RM1.5 bilion setahun.

Katanya, jumlah RM1.5 bilion itu adalah sumbangan daripada kerajaan pusat sementara beberapa negeri turut memberi sumbangan berasingan.