M’sia kekal destinasi menarik pelaburan

M’sia kekal destinasi menarik pelaburan

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Malaysia akan kekal menjadi destinasi menarik pelaburan dalam sektor infrastruktur walaupun berdepan beberapa isu utama dalam ekonominya, menurut Hongkong and Shanghai Banking Corp Ltd (HSBC).

Pakar Ekonomi HSBC, Joseph Incalcaterra berkata Malaysia merupakan antara bilangan kecil ekonomi yang mempunyai pendapatan sederhana tinggi di samping profil demografik baik dengan pertumbuhan penduduk ketara.

“Penggunaan projek infrastruktur dan pembangunan kawasan bandar adalah aspek penting untuk penjanaan hasil pada masa depan bagi semua projek.

“Kami berpendapat wujud keperluan masa depan untuk Malaysia mempelbagaikan ekonominya, walaupun ia menjejaskan pertumbuhan jangka pendek,” katanya kepada pemberita melalui telesidang dari Hong Kong.

Beliau berkata pengurangan sumbangan perolehan oleh Petroliam Nasional Bhd disebabkan harga minyak mentah semasa yang lemah telah mempengaruhi kemampuan kerajaan untuk berbelanja sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Selain daripada itu, harga minyak sawit dan gas asli juga memberi kesan kepada ekonomi memandangkan Malaysia sensitif terhadap harga komoditi, katanya. – Bernama